
SEREMBAN, 14 September – Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan kerana tiada proses sah pernah menyebabkan Baginda terhenti memegang jawatan berkenaan.
- DKU menyatakan proklamasi bertarikh 19 April tidak sah di sisi Perlembagaan dan tiga daripada empat penandatangan tidak memegang jawatan Undang.
- Tiada siasatan penuh mengikut Perkara X(1), tiada notis atau peluang diberikan kepada Tuanku Muhriz untuk didengar.
- Proklamasi dilihat luput selepas Menteri Besar enggan menandatangani pada 20 April 2026; tandatangan Menteri Besar baru tidak memulihkan kecacatan.
- Tindakan enam individu pada 5 September disifatkan derhaka; DKU arah pegawai negeri abaikan dokumen itu dan laporan polis akan dibuat.
Ketetapan itu diputuskan dalam persidangan khas Dewan berkenaan pada Ahad, susulan polemik berkaitan proklamasi bertarikh 19 April lalu.
Kenyataan DKU tersebut menegaskan semula pendirian bahawa proklamasi berkenaan tidak sah di sisi Perlembagaan, selain mendakwa tiga daripada empat individu yang menandatanganinya tidak memegang jawatan Undang mengikut adat Luak masing-masing pada tarikh tersebut.
“Tiada siasatan penuh dan lengkap pernah dilaksanakan seperti ditetapkan Perkara X(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, termasuk tiada notis atau peluang diberikan kepada Tuanku Muhriz untuk didengar.
“Dewan turut berpandangan proklamasi itu telah luput dan terbatal selepas Menteri Besar ketika itu enggan menandatanganinya pada 20 April 2026, atas alasan syarat Perkara X tidak dipenuhi,” jelas kenyataan berkenaan.
“Tindakan Menteri Besar baharu menandatangani proklamasi sama tidak memulihkan kecacatan berkenaan,”ujar kenyataan itu lagi.
Dalam pada itu, DKU menyifatkan tindakan enam individu yang menandatangani dokumen bertarikh 5 September lalu dianggap sebagai derhaka di sisi adat dan undang-undang.
“Sehubungan itu, Dewan memutuskan tiada pegawai Kerajaan Negeri perlu bertindak berdasarkan arahan yang bersandarkan dokumen tersebut, sebaliknya terus mengiktiraf Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Dewan juga mengarahkan Setiausahanya menyampaikan keputusan kepada Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri,” menurut kenyataan sama.
Selain itu, satu laporan polis akan dibuat terhadap enam individu terbabit bagi membolehkan siasatan pihak berkuasa dijalankan.
DKU turut meminta penjelasan rasmi Kerajaan Negeri berhubung terma rujukan Jawatankuasa Pendamai yang dicadangkan, khususnya jika ia melibatkan soal adat Melayu yang menurutnya berada dalam bidang kuasa Dewan.