
PRAGUE, 14 September- Bekas penjaga gol West Ham, Ludek Miklosko meninggal dunia pada usia 64 tahun selepas bertahun-tahun bertarung penyakit kanser, menurut bekas kelabnya Banik Ostrava pada Isnin.
- Miklosko membuat 318 penampilan bersama West Ham dan membantu kelab naik ke Divisyen Satu pada musim 1990-1991.
- Beliau menjadi jurulatih penjaga gol West Ham sehingga 2010 sebelum kembali ke Republik Czech untuk bekerja dengan Banik Ostrava.
- West Ham dan Banik menyampaikan penghormatan, termasuk tempoh penghormatan sebelum perlawanan Piala Liga menentang Fulham.
Miklosko, yang membuat 318 penampilan bersama West Ham menyertai kelab Liga Perdana Inggeris itu dari Banik Ostrava pada 1990 selepas beraksi bersama kelab berkenaan sejak 1982.
Beliau membantu West Ham dinaikkan ke Divisyen Satu lama England pada musim 1990-1991 iaitu musim penuh pertamanya bersama kelab itu.
“Ludek Miklosko telah meninggal dunia pada usia 64 tahun. Bekas penjaga gol yang hebat dan paling penting, seorang insan yang luar biasa. Berehatlah dengan tenang, Big Ludo,” kata Banik dalam satu kenyataan di X.
West Ham turut menyampaikan penghormatan kepada bekas penjaga golnya itu.
“Berehatlah dengan tenang Ludek, penjaga gol kesayangan kami yang menjadi inspirasi dan seorang insan yang baik,” menurut kenyataan kelab itu.
West Ham memaklumkan tempoh penghormatan akan diadakan untuk mengenang Miklosko sebelum perlawanan pusingan ketiga Piala Liga menentang Fulham pada Selasa.
Miklosko menyertai Queens Park Rangers pada 1998 dan membuat 57 penampilan sebelum menamatkan kariernya pada 2001.
Beliau kemudian menjadi jurulatih penjaga gol West Ham sehingga 2010 sebelum kembali ke Republik Czech untuk bekerja dengan Banik.
Miklosko turut membuat 42 penampilan antarabangsa bersama Czechoslovakia dan kemudian Republik Czech.
Pada 2024, beliau memberitahu media Czech bahawa beliau menolak rawatan kemoterapi kerana mahu “menjalani kehidupan normal”. -AFP