
KUALA LUMPUR, 14 September – Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Anuar Bakri Abdul Salam dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Sentul yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
- Anuar Bakri sebelum ini pensyarah Cawangan Pengajian Siasatan Sains Forensik/DNA dan dinaikkan pangkat daripada Penguasa Polis kepada Asisten Komisioner.
- Beliau menggantikan SAC Basri Sagoni yang kini dilantik Ketua Penolong Pengarah D7 JSJ Bukit Aman, berkuat kuasa 1 September.
- Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus menekankan amanah, profesionalisme, tindakan pantas tepat integriti, tingkatkan kehadiran polis dan dengar keluhan masyarakat.
Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai pensyarah di Cawangan Pengajian Siasatan Sains Forensik/DNA Pusat Pengajian Sains Penyiasatan dan Pendakwaan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur, menerima kenaikan pangkat daripada Penguasa Polis (SUPT) kepada Asisten Komisioner (ACP).
Anuar Bakri menggantikan SAC Basri Sagoni yang kini dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah D7 Pencegahan/Tahanan/Pengawasan,Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, berkuat kuasa 1 September lalu.
Majlis Pemakaian Pangkat serta Serah Terima Tugas berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Majlis disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, yang menyifatkan pelantikan berkenaan bukan sekadar pengiktirafan terhadap prestasi dan pengalaman, malah amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan penuh profesionalisme serta tanggungjawab.
“Saya mahu setiap tugasan dilaksanakan dengan pantas, tepat dan berintegriti. Tingkatkan kehadiran polis di lapangan, dengar keluhan masyarakat dan jangan sesekali memandang ringan terhadap isu keselamatan walaupun kecil.
“Kejayaan pasukan bukan sekadar diukur melalui statistik, tetapi melalui tahap keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap PDRM,” tegasnya.
Dalam majlis sama, isteri beliau Za-idah Ekhwan dilantik selaku Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Sentul yang baharu.