Abdul Aziz Abdul Majid dilantik Timbalan Ketua Polis Negara

Datuk Seri Abdul Aziz (dua dari kanan) dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara baharu berkuat kuasa 9 September

KUALA LUMPUR, 14 September – Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baharu berkuat kuasa mulai 9 September lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelantikan dibuat atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, nasihat Perdana Menteri dan perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis menurut Perlembagaan.
  • Menteri Dalam Negeri menyatakan beliau mempunyai kepakaran, pengalaman dan daya kepimpinan tinggi dalam bidang kepolisan.
  • Memiliki Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) UKM, pelbagai penempatan jabatan dan menghadiri kursus serta seminar antarabangsa.

Pelantikan itu dibuat atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis sebagaimana termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, berdasarkan kepakaran dan pengalaman dalam bidang kepolisan, Abdul Aziz mempunyai kompetensi dan daya kepimpinan yang tinggi sebagai Timbalan Ketua Polis Negara.

Abdul Aziz, 59, dilahirkan pada 19 Feb 1967 di Penaga, Pulau Pinang dan memiliki Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Beliau mula dilantik dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 1 Julai 1995. Sepanjang tempoh perkhidmatan, beliau telah ditempatkan di pelbagai jabatan dalam PDRM.

“Antaranya adalah Jabatan Pengurusan, Jabatan Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Jabatan Logistik dan Teknologi serta Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Seri Saifuddin yang juga Pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis berkata, selaras dengan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki, anak kelahiran Penaga, Pulau Pinang yang berkelulusan Ijazah Sarjana Sains Sosial (Pengajian Kepolisan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu telah menjawat pelbagai jawatan strategik dalam pasukan polis.

Antaranya termasuk Pengarah Pengurusan, Timbalan Pengarah Cawangan Khas, Timbalan Pengarah Narkotik, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Dasar/Sumber dan Ketua Penolong Pengarah Pasukan Khas Siasatan Bersepadu.

Katanya, bagi memperkukuh profesionalisme, beliau juga telah menghadiri pelbagai kursus dan seminar, termasuk The 8th International Symposium of Best Police Practice dan Intelligence Management Development Programme.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.