
PUTRAJAYA, 14 September – Kerajaan sedang meneliti tawaran Amerika Syarikat untuk menyerahkan sebuah lagi kapal peronda bagi kegunaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
- Keputusan hanya dibuat selepas pemeriksaan menyeluruh bagi menentukan keadaan kapal.
- Penilaian teknikal diperlukan untuk pastikan kapal layak, selamat dan kos baik pulih terkawal.
- Ketua Setiausaha KDN diminta meneliti bersama pakar APMM dan jurutera sebelum mengemukakan laporan serta syor.
- Penambahan aset penting untuk perkukuh kawalan perairan dan memerangi penyeludupan, pendatang asing serta pencerobohan nelayan dan kapal asing.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tawaran itu telah dikemukakan secara rasmi, namun keputusan hanya akan dibuat selepas pemeriksaan menyeluruh terhadap kapal berkenaan.
Menurutnya, penilaian teknikal penting bagi memastikan kapal itu masih layak dan selamat digunakan, selain mengambil kira kos baik pulih supaya tidak membebankan kerajaan.
Katanya, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha KDN meneliti tawaran itu bersama pakar APMM dan jurutera sebelum laporan serta syor dikemukakan kepadanya.
“Amerika Syarikat kemudian menulis kepada saya untuk menawarkan kapal kedua. Pertama, kita mesti melakukan pemeriksaan sendiri dan berpuas hati sama ada kapal itu seaworthy atau tidak.
“Jadi, saya tugaskan Datuk KSU untuk menelitinya bersama pakar APMM dan jurutera kita, kemudian kemukakan laporan serta syor kepada saya sama ada tawaran ini wajar diterima atau tidak,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya.
Datuk Seri Saifuddin berkata kerajaan juga tidak teragak-agak menolak tawaran itu sekiranya kos baik pulih kapal didapati terlalu tinggi.
Malaysia sebelum ini menerima sebuah kapal menerusi inisiatif sama yang telah dibaik pulih dan kini digunakan APMM bagi operasi di Sabah.
Menurutnya, penambahan aset penting bagi memperkukuh keupayaan APMM mengawal perairan negara, termasuk membanteras penyeludupan senjata dan dadah, kemasukan pendatang asing serta pencerobohan nelayan dan kapal asing.