Modul Ops Strike diperkenal, perkukuh pencegahan dadah di sekolah

Pengerusi PEMADAM Perak, Mohd Azlan Helmi/Foto FB SMK Raja Permaisuri Bainun

IPOH, 14 September – Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Perak akan memperkenalkan modul Ops Strike sebagai kerangka pelaksanaan program pencegahan dadah di sekolah secara lebih sistematik dan berterusan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Modul dijangka siap dalam dua minggu dan akan digunakan sebagai panduan di setiap daerah.
  • Latihan akan dijalankan tahun ini untuk melatih jurulatih daerah termasuk penghulu dan ketua kampung, serta mengukuhkan kerjasama dengan PPD.
  • Pelaksanaan disusun ikut takwim daerah, melibatkan sekolah sasar, penceramah tetap terlatih dan penggabungan pencegahan dadah serta buli termasuk siber.

Modul berkenaan dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi dan akan digunakan sebagai panduan di setiap daerah.

Pengerusi PEMADAM Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, pelaksanaan modul itu penting bagi memastikan program kesedaran tidak lagi dilaksanakan secara bermusim atau sekadar hanya sekali (one-off).

“Kita akan mulakan latihan tahun ini, kita akan menjemput PEMADAM Daerah contohnya, Setiausaha PEMADAM Daerah yang terdiri daripada penghulu, ketua kampung.

“Kita akan mengadakan latihan dan mencari potensi yang baik untuk menjadi jurulatih di tempat daerah masing-masing dan seterusnya mengadakan kolaborasi yang rapat dengan jabatan PPD daerah dan juga untuk kita masuk ke dalam sekolah-sekolah, khususnya sekolah menengah dan rendah”, katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Program Aspirasi Murid Cemerlang Tanpa Dadah (ASCEND) dan Program Kerangka Antibuli Sekolah Untuk Pemerkasaan (SAFE) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun di sini hari ini.

Pelaksanaan Ops Strike turut akan disusun mengikut takwim setiap daerah, dengan sekolah sasaran ditentukan secara berkala serta disokong penceramah tetap yang dilatih menggunakan modul berkenaan.

Usaha itu selari dengan pelaksanaan program ASCEND oleh SMK Raja Permaisuri Bainun serta program SAFE oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

Kedua-dua pendekatan dilihat mampu menggabungkan usaha pencegahan dadah dan buli, termasuk buli siber bagi memperkukuh  kesedaran dalam kalangan murid secara berterusan.

PEMADAM Perak turut akan memperluas kerjasama dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bagi mendapatkan input serta memastikan modul yang digunakan menepati keperluan pencegahan di peringkat sekolah.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.