
KUALA LUMPUR, 14 September- Atlet muda memanah berkuda negara, Haddif Hamidi bertekad memburu kejayaan lebih besar pada Sukan Nomad Dunia 2028 di Kazan, Rusia selepas mencipta kejutan dengan menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik pada edisi 2026 di Kyrgyzstan.
- Haddif, 19, menamatkan kategori lelaki di tempat kesembilan daripada 74 peserta.
- Gementar berdiri bersebelahan lagenda antarabangsa, namun berjaya kawal perasaan ketika bertanding.
- Menggunakan pengalaman di Kyrgyzstan untuk memperkemas persiapan dan meningkatkan intensiti latihan bagi kejayaan akan datang.
Haddif, 19, menamatkan saingan kategori lelaki di tempat kesembilan daripada 74 peserta pada kejohanan yang berlangsung dari 31 Ogos hingga 6 September lepas.
Beliau berkata pencapaian itu cukup bermakna selepas berdepan peserta dari pelbagai negara termasuk atlet yang dianggapnya sebagai lagenda.
“Saya rasa gementar sebab saya berdiri bersebelahan dengan lagenda dan idola saya dari Perancis, tetapi saya tidak ada masa untuk berasa gementar.
“Alhamdulillah, saya dapat mengawal perasaan itu dan berjaya berada dalam kelompok 10 terbaik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri di sini hari ini.

Haddif berkata pengalaman beraksi di Kyrgyzstan akan dijadikan panduan untuk memperkemas persiapan dan meningkatkan intensiti latihan bagi memburu pencapaian lebih baik di Rusia.
Republik Tatarstan, Rusia akan menjadi tuan rumah Sukan Nomad Dunia edisi ketujuh pada 2028, dengan kejohanan itu dijadual berlangsung di Kazan.