55 rakyat Malaysia di Nepal masih belum dapat dihubungi – Wisma Putra

Kawasan kediaman dilitupi lumpur susulan kejadian banjir lumpur yang dahsyat di Trishuli, Nuwakot, Nepal/Foto REUTERS

KUALA LUMPUR, 14 September – Seramai 55 rakyat Malaysia yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh di Nepal dan China masih belum dapat dihubungi dan usaha mendapatkan kepastian mengenai status mereka masih giat dijalankan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Usaha mendapatkan kepastian status rakyat diteruskan dengan kerjasama pihak berkuasa dan agensi di Nepal dan China.
  • Pasukan SMART kembali ke tanah air dan akan memberi taklimat kepada Kementerian Luar Negeri.
  • SMART melaksanakan pencarian di kawasan yang selamat, termasuk pencarian darat dan tinjauan udara menggunakan dron.
  • Kedutaan Malaysia di Kathmandu dan Beijing akan memantau, menyemak hospital dan agensi, serta buat lawatan susulan jika selamat.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang kembali dari Nepal hari ini akan memberi taklimat kepada kementerian mengenai operasi serta maklumat yang diperoleh sepanjang penugasan.

Katanya, sepanjang berada di Nepal, SMART menjalankan pencarian di kawasan yang selamat dan dibenarkan pihak berkuasa negara itu, termasuk pencarian di darat serta tinjauan udara menggunakan dron.

“Kementerian bersama agensi berkaitan akan meneliti maklumat yang diperoleh SMART serta perkembangan terkini dari Nepal bagi menentukan tindakan susulan yang sesuai.

“Berakhirnya penugasan SMART di lapangan tidak bermakna usaha untuk mendapatkan kepastian mengenai status rakyat Malaysia yang terlibat telah tamat dan tidak mengubah status semasa mereka.

“Berdasarkan maklumat terkini dari Nepal, pihak berkuasa negara itu masih menjalankan usaha mencari, mengesahkan dan mengenal pasti mangsa susulan bencana berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, SMART turut memberi latihan penggunaan dron kepada anggota penyelamat Nepal, selain menyerahkan sembilan dron kepada Kerajaan Nepal melalui National Disaster Risk Reduction and Management Authority (NDRRMA).

Pasukan SMART yang digerakkan ke Nepal bagi melaksanakan operasi bantuan susulan bencana/Foto Facebook SMART

Katanya, usaha susulan di Nepal akan diteruskan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu melalui hubungan dengan NDRRMA dan pihak berkuasa Nepal, selain membuat semakan dengan hospital serta agensi berkaitan.

“Kedutaan juga akan menjalankan semakan atau lawatan susulan sekiranya keadaan keselamatan mengizinkan dan mendapat kebenaran pihak berkuasa Nepal.

“Bagi China pula, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing akan terus berhubung dengan pihak berkuasa China mengenai rakyat Malaysia yang terjejas serta mendapatkan maklumat yang boleh membantu menentukan status mereka,” katanya.

Dalam pada itu, kementerian kekal berhubung secara langsung dengan waris terdekat rakyat Malaysia yang terlibat dan akan terus menyalurkan perkembangan berdasarkan maklumat yang telah disahkan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.