
MARAWI, 14 September – Pilihan raya pertama bagi memilih anggota Parlimen wilayah autonomi Muslim Filipina bermula hari ini, beberapa jam selepas insiden tembakan berhampiran sebuah pusat mengundi di Cotabato mengorbankan tiga nyawa dan mencederakan 15 yang lain.
- Pilihan raya dianggap kemuncak proses damai sejak 1990-an dan penting untuk pemerintahan sendiri BARMM.
- Tembakan tercetus sebelum pusat mengundi di Cotabato antara dua kumpulan politik, dikaitkan parti yang muncul dari MILF.
- Lebih 20,000 anggota keselamatan dikerahkan di seluruh BARMM, beserta kawalan ketat dan pasukan tindak balas pantas.
Lebih dua juta pengundi layak menunaikan tanggungjawab bagi memilih 80 anggota Parlimen yang dipertandingkan oleh 13 parti di Rantau Autonomi Muslim Mindanao Bangsamoro (BARMM).
Pilihan raya itu merupakan kemuncak proses damai yang berlarutan sejak akhir 1990-an, sekali gus menjadi langkah penting ke arah pemerintahan sendiri di wilayah selatan Filipina yang majoritinya beragama Islam.
Di Marawi, bandar yang pernah menjadi medan pertempuran sengit antara tentera kerajaan dan kumpulan jihad, pengundi dilihat beratur panjang di pusat-pusat mengundi dalam keadaan aman, dengan kawalan kereta kebal dan anggota keselamatan.
“Kami teruja dan datang awal pagi,” kata Mohammad Actar Macabada, 18, selepas selesai mengundi.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih berasa bimbang susulan sejarah keganasan di kawasan itu.
“Saya gementar kerana mungkin berlaku kekacauan. Sebelum ini memang berlaku kekacauan. Sekarang keadaan aman. Saya teruja menunggu keputusannya,” katanya.
Ketenangan pilihan raya menjadi perhatian utama susulan sejarah panjang keganasan politik dan pertelingkahan berdarah antara keluarga berpengaruh di wilayah berkenaan.
Namun, ketegangan tercetus beberapa jam sebelum pusat mengundi dibuka apabila tembakan berlaku di luar sebuah sekolah yang dijadikan pusat mengundi di Cotabato, ibu negeri wilayah berkenaan.
Ketua Polis Cotabato, Jibin Bongcayao, berkata kejadian berlaku sebelum tengah malam ketika anggota daripada dua puak politik yang bersaing berebut kedudukan untuk menjadi antara yang terawal mengundi.
“Ia bermula dengan perebutan kedudukan dalam barisan antara dua kumpulan, kemudian berlaku tolak-menolak sebelum pergaduhan tercetus dan akhirnya tembakan dilepaskan di kawasan yang dipenuhi orang ramai,” katanya.
Menurut Bongcayao, individu terbabit dipercayai daripada parti-parti politik yang muncul daripada Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), kumpulan yang selama beberapa dekad memperjuangkan autonomi wilayah berkenaan.
Keselamatan dipertingkatkan di seluruh BARMM menjelang pilihan raya dengan lebih 20,000 anggota keselamatan dikerahkan ke kawasan pengundian, selain pasukan tindak balas pantas disediakan bagi menangani sebarang insiden keganasan.
Bulan lalu, konvoi membawa ketua menteri interim wilayah itu, yang dilantik Presiden Ferdinand Marcos, turut diserang hendap dan dihujani tembakan.
Dalam kejadian berasingan pada awal pagi ini, seorang lelaki meninggal dunia di hospital selepas cedera dalam satu letupan berhampiran sebuah lagi pusat mengundi.
Polis masih menjalankan siasatan bagi menentukan punca letupan berkenaan.
Pilihan raya itu dilihat sebagai ujian penting terhadap usaha mengekalkan keamanan di BARMM selepas beberapa dekad konflik bersenjata antara kerajaan Filipina dan kumpulan pejuang Moro. – AFP