
MALE, 14 September – Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Maldives selama dua hari bermula hari ini dijangka memberi momentum baharu kepada hubungan dua hala Malaysia-Maldives, khususnya menerusi penerokaan kerjasama dalam bidang baharu yang memberi manfaat bersama.
- Lawatan sulung Perdana Menteri ke Maldives fokus memperkukuh kerjasama sedia ada dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan, pertahanan dan hal ehwal Islam.
- Agenda rasmi termasuk sambutan di Republic Square, pertemuan empat mata, mesyuarat delegasi, pertukaran dua MoU pertahanan dan hal ehwal Islam serta sidang media.
- Hubungan diplomatik sejak 1968 kukuh; 2025 perdagangan dua hala tinggi, Maldives rakan dagang keenam terbesar Malaysia di Asia Selatan.
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Sri Lanka dan Maldives, Badli Hisham Adam berkata, lawatan sulung Datuk Seri Anwar ke republik itu sejak dilantik sebagai Perdana Menteri turut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama sedia ada dalam perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan, pertahanan serta hal ehwal Islam.
Beliau berkata, lawatan tersebut merupakan lawatan balas kepada lawatan rasmi Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu ke Malaysia pada April 2025.
“Kedua-dua pemimpin akan menilai kerjasama dua hala yang sekian lama terjalin antara kedua-dua negara dan meneroka kerjasama baharu dalam pelbagai bidang, terutamanya perdagangan dan pelaburan, pendidikan, pelancongan, pertahanan dan hal ehwal Islam.
“Perdana Menteri dan Presiden Maldives akan turut bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” katanya kepada media Malaysia menjelang lawatan itu.
Dalam lawatan itu, Datuk Seri Anwar akan diraikan dalam upacara sambutan rasmi di Republic Square sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan Muizzu, diikuti mesyuarat delegasi kedua-dua negara.
Selain menilai kerjasama sedia ada, mesyuarat tersebut akan turut membincangkan inisiatif bagi memperkukuhkan lagi hubungan dua hala
terutamanya dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, integrasi digital, pembinaan kapasiti, pelancongan dan pembangunan mampan.
Kedua-dua pemimpin turut dijadual menyaksikan pertukaran dua Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kerjasama pertahanan dan hal ehwal Islam, selain mengadakan sidang media bersama.
Lawatan rasmi itu akan diakhiri dengan jamuan makan tengah hari rasmi yang dihoskan Presiden Muizzu.
Datuk Seri Anwar diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan dan pegawai kanan kerajaan.
Hubungan diplomatik Malaysia-Maldives yang terjalin sejak 1968 terus menjadi asas kepada usaha kedua-dua negara memperluas kerjasama dalam bidang yang membawa manfaat bersama.
Pada 2025, jumlah perdagangan dua hala Malaysia-Maldives bernilai RM762.78 juta, dengan Malaysia mencatatkan lebihan perdagangan sebanyak RM751.67 juta.
Maldives kekal sebagai rakan dagang keenam terbesar Malaysia di rantau Asia Selatan dan merupakan antara destinasi eksport penting bagi Malaysia.
Lawatan Perdana Menteri ke Maldives dijangka dapat memperkukuh lagi hubungan dua hala serta memupuk pertumbuhan jangka panjang melalui kerjasama dalam pelbagai bidang strategik, selaras dengan hubungan yang telah dibina lebih lima dekad.