
KUALA LUMPUR, 14 September – Perdana Menteri India, Narendra Modi antara pemimpin terawal yang memberi sokongan penuh terhadap usaha Malaysia menyertai blok ekonomi BRICS, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Hubungan Malaysia-India diperkukuh berdasarkan ikatan sejarah, budaya dan hubungan peribadi yang kukuh.
- Pemikiran Anwar dipengaruhi tokoh India seperti Mahatma Gandhi dan Jawaharlal Nehru.
- Kerajaan MADANI tidak meminggirkan komuniti India; dasar atasi kemiskinan, ketidaksamaan dan pendidikan tanpa mengira kaum.
- Rundingan dan kompromi penting bagi keamanan Asia Barat; perlu tangani punca asas konflik dan hentikan serangan terhadap orang awam.
Beliau berkata, sokongan pantas Modi mencerminkan hubungan erat Malaysia-India, selain membantu Malaysia memperkukuh kerjasama perdagangan yang saksama.
“Malaysia mendapat sokongan padu daripada Narendra Modi, yang menjadi antara pemimpin terawal bertindak pantas menghulurkan sokongan.
“Walaupun Malaysia sebuah negara kecil, kita menerima maklum balas pantas daripada negara-negara penting BRICS demi membolehkan amalan perdagangan yang saksama dan adil,” katanya dalam wawancara eksklusif selama 30 minit dalam program Kelvikkenna Bathil yang disiarkan menerusi saluran YouTube Thanthi TV.
Datuk Seri Anwar berkata, hubungan Malaysia-India akan terus diperkukuh berdasarkan ikatan sejarah, budaya dan hubungan peribadi yang telah terjalin sekian lama.
“India mempunyai pengaruh yang besar terhadap pemikiran dan perjalanan intelektual saya,” katanya.
Beliau berkata, pemikirannya turut dipengaruhi tokoh seperti Mahatma Gandhi dan Jawaharlal Nehru, selain tamadun serta falsafah India.
Datuk Seri Anwar turut berkongsi minatnya terhadap budaya Tamil dan industri filem India, khususnya karya M. G. Ramachandran (MGR).
Menurutnya, filem bukan sekadar hiburan, tetapi turut memainkan peranan sosial dan pendidikan dalam menyampaikan mesej moral serta realiti kehidupan masyarakat.
Hubungan itu turut diperkukuh menerusi keakraban beliau dengan ikon seni India termasuk komposer A. R. Rahman dan pelakon legenda Rajinikanth.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pelakon Vijay yang kini menjadi Ketua Menteri Tamil Nadu, sambil mengingatkan bahawa kemenangan pilihan raya hanyalah permulaan kepada cabaran lebih besar dalam pentadbiran.
“Namun, cabaran sebenar adalah untuk terus bertahan dan mempunyai kebijaksanaan dalam mengemudi pentadbiran. Dalam dunia realiti, terdapat perbezaan antara apa yang kita sasarkan dengan pengalaman menguruskan pembangunan sebenar,” katanya.
Menyentuh masyarakat India di Malaysia, Datuk Seri Anwar menegaskan, komuniti itu tidak dipinggirkan di bawah Kerajaan MADANI.
Beliau berkata, usaha menangani kemiskinan, ketidaksamaan dan isu pendidikan dilaksanakan berdasarkan keperluan tanpa mengira kaum.
Mengenai konflik di Asia Barat pula, beliau menjelaskan, rundingan dan kompromi penting bagi mencapai keamanan, selain masyarakat antarabangsa perlu menangani punca asas konflik termasuk ketidakadilan dan penjajahan terhadap Palestin.
Beliau menggesa usaha menghentikan keganasan dan serangan terhadap orang awam dilakukan secara konsisten tanpa sikap pilih kasih.