Feri terbalik : Enam maut, 129 masih hilang

Mangsa yang diselamatkan dibawa ke Banjarmasin, dengan sebahagiannya menerima rawatan selepas tiba di darat / Foto AFP

BANJARMASIN, 14 September – Sekurang-kurangnya enam orang maut manakala 129 lagi masih hilang selepas feri Virgo Transport 8 terbalik ketika dilanda laut bergelora di Laut Jawa, Indonesia, awal pagi Ahad.

RINGKASAN BERITA AI
  • 108 penumpang dan kru diselamatkan dalam operasi mencari dan menyelamat.
  • Feri membawa 243 orang termasuk 213 penumpang dan 30 kru.
  • Pasukan SAR berdepan ombak sehingga 2.5 meter, lokasi terakhir dikesan 148 kilometer dari Banjarmasin.
  • Dua helikopter serta kapal tentera laut, polis, Basarnas dan syarikat pengendali dikerahkan, siasatan punca kejadian diteruskan.

Seramai 108 penumpang dan kru berjaya diselamatkan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masih dijalankan pihak berkuasa.

Feri berkenaan membawa 243 orang, terdiri daripada 213 penumpang dan 30 kru, ketika dalam perjalanan dari Surabaya, Jawa Timur ke Banjarmasin, Kalimantan Selatan.

Agensi Pencarian dan Pertolongan Nasional Indonesia (Basarnas) berkata, kapal itu hilang hubungan dengan pengendalinya selepas nakhoda melaporkan kapal mula senget ketika berdepan keadaan cuaca buruk.

Ketua Kantor Pencarian dan Pertolongan Kelas A Banjarmasin I, Putu Sudayana berkata, pasukan SAR berdepan ombak sehingga 2.5 meter dalam usaha menuju ke lokasi kejadian.

Lokasi terakhir kapal dikesan adalah di Laut Jawa, kira-kira 148 kilometer dari Banjarmasin.

Dua helikopter selain kapal milik tentera laut, polis, Basarnas dan syarikat pengendali feri dikerahkan untuk operasi pencarian.

Menteri Pengangkutan Indonesia, Dudy Purwagandhi mengesahkan feri itu terbalik, manakala punca kejadian masih dalam siasatan.

Mangsa yang diselamatkan dibawa ke Banjarmasin, dengan sebahagiannya menerima rawatan selepas tiba di darat.

Pihak berkuasa turut menubuhkan pusat operasi kecemasan di Pelabuhan Trisakti, Banjarmasin, bagi menyelaras operasi SAR serta pengurusan mangsa dan keluarga.

Indonesia yang merupakan negara kepulauan dengan ribuan pulau banyak bergantung kepada pengangkutan laut, termasuk perkhidmatan feri, untuk menghubungkan wilayah yang dipisahkan laut.

Operasi mencari 129 individu yang masih hilang diteruskan, manakala siasatan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca feri berkenaan terbalik. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.