
MEDAN, 13 September – Penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi dan pembangunan bakat merupakan medium penting dalam usaha memastikan kemajuan khususnya kecerdasan buatan (AI) sentiasa berpandukan etika, nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial demi memberi manfaat serta impak nyata kepada masyarakat.
- Penggunaan AI merentasi sektor pendidikan, kesihatan, ekonomi dan perkhidmatan awam, menjadikan teknologi pemudah cara bagi golongan muda dan komuniti terpinggir.
- Teknologi perlu memperluas akses pendidikan dan perkhidmatan kesihatan, membuka peluang ekonomi serta memperkasakan kemahiran dan potensi generasi muda.
- Persidangan NEXT-D mengukuhkan kerjasama rentas sempadan antara institusi, memacu inovasi digital berteraskan etika, keterangkuman dan manfaat kepada masyarakat sejagat.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penggunaan AI merentasi pelbagai sektor termasuk pendidikan, kesihatan, ekonomi dan perkhidmatan awam seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
“Teknologi perlu menjadi pemudah cara untuk memperluas peluang, khususnya kepada golongan muda, asnaf dan komuniti yang kurang mendapat perhatian.
“Melaluinya, akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan dapat diperluas, peluang ekonomi dibuka, manakala kemahiran serta potensi generasi muda terus diperkasakan,” titah Raja Muda Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Persidangan Antarabangsa Mengenai Teknologi Digital Generasi Baharu 2026di Auditorium Kampus Utama, Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), di sini.
Persidangan selama tiga hari bermula 12 hingga 14 September itu dianjurkan bersama UMSU dan FCoEE dengan memberi tumpuan kepada peranan teknologi termaju dalam membentuk serta memacu transformasi landskap digital global.
Selain itu, menjadi wadah perkongsian ilmu, penyelidikan dan kepakaran antara akademia, industri serta pemegang taruh dari pelbagai negara.
Lebih 200 pakar global, ahli akademik dan penggiat industri dari Malaysia, Thailand, Brunei, Korea Selatan, India, Arab Saudi dan beberapa negara lain menyertai persidangan berkenaan untuk berkongsi kepakaran serta membincangkan perkembangan dan hala tuju inovasi teknologi masa hadapan.
Kesemua kertas kerja yang diterima dan dibentangkan sepanjang persidangan akan diterbitkan dalam Prosiding Teknologi Digital Ge Baharu 2026, manakala penyertaan terbaik berpeluang dicalonkan untuk penerbitan dalam jurnal berindeks terkemuka termasuk Scopus, Web of Science (WoS) dan MyCite.
Penganjuran NEXT-D 2026 mencerminkan komitmen berterusan institusi pendidikan tinggi dari Malaysia dan Indonesia dalam memperkukuh jaringan akademik serta kerjasama rentas sempadan, khususnya dalam bidang teknologi digital dan inovasi.
Kerjasama itu diyakini mampu memperkukuh ekosistem digital yang bukan sahaja inovatif dan berdaya saing, malah berteraskan etika, keterangkuman serta manfaat kepada masyarakat sejagat.
Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda puteri, Hajah Farah Adriana Jamalullail.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut Rektor UMSU, Profesor Dr. Akrim.
Turut hadir Pengerusi Persidangan NEXT-D Profesor Madya Dr. Rabiah Abdul Kadir serta Penasihat Persidangan NEXT-D yang juga Pengerusi Eksekutif FCoEE, Profesor Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin.