BRICS perlu tindakan konkrit tangani amalan perdagangan tidak adil – PM

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

NEW DELHI, 13 September Malaysia menyeru negara anggota BRICS mengambil tindakan konkrit bagi menangani amalan perdagangan tidak adil yang menjejaskan negara membangun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama BRICS fokus kepada perkongsian pengalaman pembangunan dan kerjasama teknikal bagi membina kapasiti negara anggota.
  • Negara membangun perlu ruang tingkat keupayaan dalam teknologi baharu seperti semikonduktor dan kecerdasan buatan.
  • Pembiayaan pembangunan mesti sesuai, elak beban hutang tidak mampan; modal komersial perlu terma kukuh dan mampan.
  • Peralihan hijau harus ambil kira keadaan nasional; pelaburan dalam CCUS penting sebagai sebahagian usaha tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama negara anggota perlu memberi tumpuan kepada perkongsian pengalaman pembangunan serta kerjasama teknikal.

Menurut beliau, negara membangun juga harus diberi ruang untuk meningkatkan keupayaan dalam bidang teknologi baharu, termasuk semikonduktor dan kecerdasan buatan.

“Pembiayaan pembangunan mestilah bersesuaian dengan tujuan yang ditetapkan. Usaha memenuhi keperluan asas dan menyediakan barangan awam tidak seharusnya menyebabkan negara menanggung beban hutang yang tidak mampu ditanggung secara mampan.

“Modal komersial juga memainkan peranan penting dengan syarat ia disalurkan berdasarkan terma yang kukuh dan mampan, termasuk melalui inisiatif Bank Pembangunan Baharu serta mekanisme penyelesaian menggunakan mata wang tempatan yang penting untuk kita laksanakan tanpa kelewatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan pimpinan dunia pada Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 di sini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Anwar berkata, peralihan hijau perlu mengambil kira keadaan nasional dan tahap pembangunan berbeza setiap negara.

Menurut beliau, pelaburan dalam teknologi seperti penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) juga penting sebagai sebahagian daripada usaha peralihan tersebut.

Jelasnya, geoekonomi menerusi pasaran bersepadu yang luas dan peluang kepelbagaian perdagangan.

“BRICS mewujudkan pasaran bersepadu yang luas dengan skala yang besar sekali gus membuka peluang penting untuk mempelbagaikan perdagangan…Lebih penting, kerjasama ini membolehkan ekonomi negara anggota mengurangkan kebergantungan berlebihan terhadap pasaran tradisional Barat.

“Pada akhirnya, sinergi yang diwujudkan, dimanfaatkan dan dioptimumkan akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta kemakmuran bersama,” jelas Datuk Seri Anwar lagi.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.