
MIRI, 13 September – Suasana hiba menyelubungi Hospital Miri di sini tengah hari tadi apabila rakan-rakan mendiang Jessie Paya Jok hadir memberikan penghormatan terakhir.
- Suami Jessie, Larry Bilong, mengucapkan terima kasih atas bantuan; impian Jessie sambung pengajian tahun depan tidak kesampaian.
- Ibu Mujan Ngau dan ibu mentua Hunai Ding kenang mendiang sebagai penyabar, lemah lembut, berbudi pekerti dan sopan.
- Mendiang Jessie meninggalkan suami dan dua anak (12 dan 15); kedua jenazah (Jessie, Alexson) akan disemadikan pada Isnin di Lambir.
Suaminya Larry Bilong yang mengiringi jasad Jessi merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat setiap urusan dan proses urusan jenazah untuk dibawa ke Taman Wang, Miri.
“Sekali lagi, saya mewakili keluarga ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas segala bantuan dan kerjasama kamu semua selama ini.
“Segala kebaikan kamu semua kepada Jessie, hanya Tuhan yang dapat membalasnya. Biarlah kenangan bersama Jessie terus bersemadi dalam hati kita semua.
“Biarlah impian dia untuk menyambung pengajian tahun depan menjadi kenangan. Itulah harapan Matron untuk dia, untuk melanjutkan pengajian, tetapi apa boleh buat, hasrat itu tidak kesampaian. Terima kasih sekali lagi,” katanya ketika ditemui RTM.
Sementara itu, ibu Jessie, Mujan Ngau menyifatkan mendiang sebagai seorang yang penyabar dan tidak pernah meninggikan suara.
“Ini yang membuatkan saya sangat sedih apabila mengenangkan kebaikan dia. Dia tidak pernah meninggikan suara kepada saya. Mungkin kerana dia gembira melihat anaknya berada dalam jagaan saya. Dia memang seorang yang sangat penyabar,” katanya.
Bagi ibu mentua Jessie, Hunai Ding, mendiang merupakan seorang wanita yang sopan dan lemah lembut.
“Mendiang Jessie merupakan seorang wanita yang lemah lembut, baik budi pekerti serta sopan dalam perkataannya ketika bercakap dengan orang tua,” katanya.
Mendiang Jessie meninggalkan suami, serta dua orang anak masing-masing berumur 12 dan 15 tahun dan akan disemadikan Isnin di tanah perkuburan BEM Lambir.
Mendiang Alexson Adit Henry pula diserahkan kepada waris pada pukul 9.00 pagi tadi untuk dibawa ke kediamannya di Desa Senadin Miri untuk penghormatan terakhir sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Anglican Lambir, Miri pada Isnin.