Wangian tempatan berpotensi tembus pasaran global

Antara produk wangian yang dipamerkan dalam ‘Road to the Oud and Wood Artisan Expo 2027’ di Petaling Jaya, Selangor – Foto RTM

PETALING JAYA, 13 September – Produk wangian tempatan berpotensi diperluaskan ke pasaran antarabangsa berdasarkan kualiti dan pematuhan terhadap standard global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kepelbagaian aroma produk tempatan membolehkan penyesuaian mengikut cita rasa pasaran antarabangsa.
  • Perkukuhan penjenamaan diperlukan supaya kualiti produk disertai identiti kuat untuk menembusi pasaran luar negara.
  • Kementerian menyokong usahawan meneroka pasaran baharu dan tidak hanya bergantung kepada pasaran domestik.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, produk wangian tempatan mempunyai kelebihan dari segi kepelbagaian aroma dan boleh disesuaikan dengan cita rasa pasaran antarabangsa.

Menurutnya, usaha memperkukuh penjenamaan perlu dipergiat bagi membantu usahawan tempatan mengembangkan perniagaan.

Kementerian akan terus membantu mereka meneroka pasaran baharu, selain menggalakkan usahawan tidak hanya bergantung kepada pasaran domestik.

“Kita strengthen (perkukuh) dan sedang mencari pasaran-pasaran baru untuk bantu usahawan-usahawan (tempatan) pergi jauh. Bukan sahaja untuk pasaran tempatan, jika boleh dieksport ke pasaran antarabangsa, ” katanya selepas berucap menutup program ‘Road to the Oud and Wood Artisan Expo 2027‘ (OWA), di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Noraini berkata, kekuatan jenama menjadi antara faktor penting bagi memastikan produk wangian tempatan mampu mendapat tempat di luar negara.

Menurutnya, kualiti produk sahaja tidak mencukupi sekiranya usaha membina identiti dan pasaran tidak diperkukuh secara berterusan.

“Kami memberi tumpuan kepada aspek bau dan wangian.  Saya rasa produk sebegini jauh lebih mudah untuk dipasarkan di luar negara. Ia bergantung pada jenama, namun kami perlu memperkukuh jenama serta pasaran perkara itu sangat penting,” tambahnya.

Dalam masa sama, beliau turut menyifatkan produk yang dipamerkan dalam OWA mempunyai prospek cerah untuk melangkah lebih jauh.

Berdasarkan pemerhatian terhadap produk yang dihasilkan usahawan tempatan, Datuk Seri Noraini yakin ia mempunyai standard setanding atau mampu mengatasi produk wangian dari luar negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.