
KERALAM, 13 September- Kerajaan Keralam menyambut baik lawatan sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India Selatan yang dilihat penting dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-India.
- Lawatan dijangka memberi tenaga baharu kepada kerjasama dua hala, khususnya dengan negeri-negeri di selatan India termasuk Keralam.
- Malaysia akan mendapat manfaat besar kerana aliran pelancong dari Tamil Nadu dan Keralam lebih tinggi.
- Fokus kerjasama: pelancongan kesejahteraan, perdagangan, pelaburan dan pendidikan; Keralam terkenal dengan pengeluaran herba bermutu tinggi.
Konsul Jeneral Malaysia di India Selatan K. Saravana Kumar berkata kerajaan negeri itu mengalu-alukan kehadiran Datuk Seri Anwar sebagai pemimpin negara yang merupakan rakan kongsi dua hala penting kepada India.
“Mereka melihat lawatan ini sebagai amat penting dan mengalu-alukan kehadiran Perdana Menteri, khususnya sebagai pemimpin sebuah negara yang merupakan rakan kongsi dua hala penting kepada India,” katanya.
Beliau berkata lawatan berkenaan juga dijangka memberi tenaga baharu kepada kerjasama Malaysia-India, khususnya dengan negeri-negeri di selatan India termasuk Keralam.
“Saya rasa manfaat kepada Malaysia lebih besar kerana jumlah penduduk di sini lebih ramai dan berdasarkan statistik, aliran pelancong ke Malaysia lebih tinggi dari India Selatan, khususnya Tamil Nadu dan Keralam.
“Justeru, kita perlu terus memupuk hubungan persahabatan dengan negeri-negeri di selatan India, terutama Keralam. Kehadiran Perdana Menteri dijangka memberi tenaga baharu kepada kerjasama dua hala Malaysia-India, khususnya dengan Keralam,” katanya.
Lawatan kerja Datuk Seri Anwar ke Keralam bermula hari ini hingga esok dan turut memberi tumpuan kepada potensi kerjasama dalam pelancongan kesejahteraan, perdagangan, pelaburan dan pendidikan.
Keralam turut terkenal dengan pengeluaran herba bermutu tinggi yang berpotensi diterokai usahawan Malaysia.
Datuk Seri Anwar tiba di New Delhi pada Jumaat bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18 yang dihoskan Perdana Menteri India, Narendra Modi serta mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia Vladimir Putin.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar mengadakan pertemuan dengan Modi di Hyderabad House iaitu Rumah Tetamu Negara, selain bertemu Presiden Iran, Masoud Pezeshkian dan Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed di luar persidangan berkenaan.
Selesai mengadakan lawatan ke Keralam, Perdana Menteri dijadual berlepas ke Maldives pada 14 September.