KKM selesai proses forensik, jasad lima mangsa nahas FDS diserah kepada keluarga

Lima mangsa nahas helikopter FDS diserah kepada keluarga hari ini

KUALA LUMPUR, 13 September – Jasad lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Sarawak akan diserahkan kepada keluarga masing-masing di Jabatan Forensik Hospital Miri, pagi ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengesahan identiti semua mangsa dibuat menerusi analisis DNA oleh PDRM dan Jabatan Kimia Malaysia.
  • Mangsa terdiri daripada doktor, jururawat, penolong pegawai perubatan dan juruterbang; senarai nama dinyatakan oleh KKM.
  • Jenazah akan dipindahkan dan dikebumikan mengikut jadual, termasuk penerbangan khas dan penerbangan komersial untuk pemulangan.
  • KKM berterima kasih kepada agensi terlibat dan bekerjasama dengan JBPM untuk operasi MEDEVAC semasa penangguhan sementara FDS.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan memaklumkan pengesahan identiti kesemua mangsa dibuat menerusi analisis DNA oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kimia Malaysia.

Mangsa terdiri daripada Pegawai Perubatan, Allahyarhamah Dr. Ainul Baraah Kamarudin; jururawat, mendiang Debra anak Moset; Penolong Pegawai Perubatan, mendiang Alexson Adit anak Henry; jururawat, mendiang Jessie Paya Jok; serta juruterbang, Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham.

Jenazah Dr. Ainul Baraah akan diterbangkan dari Miri ke Kota Bharu, Kelantan menggunakan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Seri Kedeper, Kampung Baung, Pengkalan Chepa.

Jasad mendiang Debra pula akan diterbangkan ke Kuching untuk disemadikan di Kampung Semadang, Padawan pada 14 September.

Sementara itu, jasad mendiang Alexson Adit akan dibawa ke rumahnya hari ini sebelum dikebumikan di Anglican Cemetery Lambir, Miri pada 14 September.

Jasad mendiang Jessie Paya Jok turut dibawa ke rumahnya hari ini sebelum dikebumikan di BEM Cemetery Lambir, Miri pada 14 September.

Jenazah Kapten Zainol Afiq pula akan diterbangkan dari Miri ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) menggunakan penerbangan Malaysia Airlines sebelum dikebumikan di Taman Perkuburan Forest Height, Senawang, Negeri Sembilan.

KKM turut merakamkan penghargaan kepada ATM, khususnya TUDM, serta PDRM, Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), pengurusan Hospital Miri dan semua agensi yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat serta pengurusan jenazah.

Dalam pada itu, KKM meneruskan kerjasama strategik dengan JBPM bagi memastikan operasi pemindahan perubatan kecemasan (MEDEVAC) dapat dilaksanakan bagi memenuhi keperluan kesihatan penduduk pedalaman, susulan penangguhan sementara perkhidmatan FDS bagi tujuan siasatan dan penilaian menyeluruh.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad turut menzahirkan penghargaan kepada rakyat Malaysia atas doa, keprihatinan dan sokongan kepada keluarga serta warga KKM yang terkesan akibat tragedi berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.