
KUCHING, 11 September – Radio Televisyen Malaysia (RTM) sedang membangunkan garis panduan khusus berkaitan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam industri penyiaran bagi memastikan teknologi itu digunakan secara bertanggungjawab.
- Perkembangan teknologi AI yang pesat, termasuk penghasilan kandungan, memerlukan panduan jelas.
- Garis panduan penting supaya penggunaan AI selaras dengan kepentingan industri dan masyarakat.
- Pendekatan perlu mengambil kira perkembangan global namun disesuaikan dengan keperluan negara.
- Semakin banyak negara mula melihat keperluan untuk mengawal selia penggunaan teknologi AI.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail berkata perkembangan teknologi AI yang pesat, termasuk dalam penghasilan kandungan, memerlukan panduan yang jelas.
Beliau berkata panduan itu penting bagi memastikan penggunaannya selaras dengan kepentingan industri dan masyarakat.
“Pembangunan garis panduan berkenaan turut mengambil kira perkembangan di peringkat global.
“Bagaimanapun, pendekatan yang dilaksanakan perlu disesuaikan dengan keperluan dan keadaan sesebuah negara, termasuk mengambil kira kepentingan industri serta masyarakat,” katanya ketika menyampaikan ucaptama secara maya sempena Konferensi Antarabangsa Komunikasi dan Media Ke-10 (i-COME’26) di Auditorium Muzium Budaya Borneo di sini hari ini.
Beliau berkata RTM kini sedang meneliti pendekatan yang bersesuaian bagi memastikan penggunaan teknologi AI dalam industri penyiaran mempunyai panduan yang jelas.
Katanya, semakin banyak negara kini mula melihat keperluan untuk mengawal selia penggunaan teknologi berkenaan.