101 pegawai SPRM jadi ‘mata dan telinga’ di sektor awam, syarikat SBK

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi SPRM Bersama Pegawai Yang Ditempatkan Ke Agensi Luar (MPSAL) di Putrajaya/Foto SPRM

PUTRAJAYA, 11 September – Seramai 101 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini ditempatkan di luar agensi itu sebagai antara mekanisme pengesanan awal risiko rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan dalam sektor awam serta syarikat berkepentingan kerajaan (SBK).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pegawai SPRM berperanan sebagai 'mata dan telinga' dalam agensi luar untuk mengesan kelemahan tatakelola sebelum isu berkembang.
  • Mereka mesti memiliki kepekaan profesional menilai maklumat, aduan dan perkara tersirat serta mengambil tindakan mengikut saluran ditetapkan.
  • Penempatan ini strategi pencegahan sistemik untuk melindungi wang awam, memperkukuh keyakinan rakyat dan menegakkan integriti institusi.

Penempatan itu membolehkan pegawai SPRM bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ dalam organisasi terbabit, termasuk mengenal pasti kelemahan tatakelola sebelum ia berkembang menjadi isu lebih serius.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata pegawai berkenaan perlu mempunyai kepekaan profesional untuk menilai maklumat, aduan dan kebimbangan yang timbul dalam organisasi, termasuk perkara yang tidak dinyatakan secara jelas.

“Konsep ‘mata dan telinga’ bukan sahaja difahami dalam kerangka undang-undang, malah memerlukan kepekaan profesional untuk menilai maklumat dan mengambil tindakan mengikut saluran yang ditetapkan.

“Pegawai perlu peka terhadap maklumat, aduan, kebimbangan dan persepsi organisasi termasuk memahami perkara tersirat,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi SPRM Bersama Pegawai Yang Ditempatkan Ke Agensi Luar (MPSAL) Siri 38 Bil.2 Tahun 2026 di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat SPRM, hari ini.

Daripada jumlah itu, 96 pegawai ditempatkan di Unit Integriti (UI) dan Unit Integriti dan Governans (IGU) di kementerian, badan berkanun serta SBK di seluruh negara.

Empat lagi pegawai bertugas di Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), manakala seorang ditempatkan di Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).

Datuk Seri Abd Halim berkata, penempatan pegawai terbabit bukan sekadar untuk tindakan selepas berlaku kesalahan, sebaliknya sebahagian strategi pencegahan rasuah secara sistemik dan proaktif.

Katanya, kejayaan pegawai SPRM di agensi luar seharusnya dilihat berdasarkan keupayaan mengenal pasti kelemahan lebih awal, melindungi wang awam dan memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan pegawai supaya tidak tunduk kepada sebarang arahan pihak luar yang boleh menjejaskan tugas serta integriti mereka.

“Jangan sesekali menerima arahan pihak luar. Jangan khuatir atau takut, segera laporkan,” katanya.

Beliau turut menekankan lima prinsip utama kepimpinan SPRM iaitu integriti tanpa kompromi, penguatkuasaan adil, pencegahan lebih baik daripada hukuman, penggunaan teknologi dan ketelusan serta pembinaan kepercayaan rakyat.

Mesyuarat berkenaan dihadiri 115 peserta termasuk pegawai SPRM yang ditempatkan di UI dan IGU di kementerian, badan berkanun serta SBK seluruh negara.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman, serta pengarah kanan dan pengarah bahagian SPRM.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.