Menara KBS berpotensi jadi lokasi ‘tower running’

Dr Mohammed Taufiq Johari

PUTRAJAYA, 10 September – Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berpotensi dijadikan lokasi latihan larian menara (tower running) secara berkala sekali gus membuka ruang kepada lebih ramai masyarakat khususnya di Putrajaya untuk menceburi aktiviti sukan berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri: Menara KBS bukan hanya untuk KBS Tower Run, boleh dijadikan lokasi latihan berkala dan aktiviti sukan lain bagi memupuk budaya bersukan.
  • Soh Wai Ching: Tangga luas dihiasi mural tingkat lapan seperti Kempangkalan Everest, puncak tingkat 17 memberi pengalaman seperti mencapai puncak.
  • Latihan berkala di menara mampu meluaskan akses masyarakat kepada tower running dan menyokong usaha KBS memupuk gaya hidup sihat menjelang Hari Sukan Negara.

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, menara berkenaan tidak seharusnya hanya dimanfaatkan untuk ‘KBS Tower Run’ sebaliknya boleh dijadikan lokasi latihan larian menara serta aktiviti sukan lain.

Usaha itu seiring dengan pendekatan KBS untuk memupuk budaya bersukan dalam kalangan rakyat selain menggalakkan gaya hidup sihat.

“Daerah Putrajaya boleh dijadikan sebagai lokasi latihan. Kita mahu Menara KBS ini bukan sahaja menjadi lokasi untuk Tower Run, tetapi juga bagi aktiviti sukan yang lain. Ini kerana kita mahu memupuk semangat bersukan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyertai KBS Tower Run yang menyaksikan peserta menawan 17 tingkat Menara KBS di sini hari ini.

Sementara itu juara dunia larian menara, Soh Wai Ching berpandangan, menara KBS dilihat sebagai lokasi yang sesuai untuk dijadikan pusat latihan, terutama dengan kemudahan tangga yang luas dan menarik.

“Tangga di KBS ini sangat luas dan menarik, malah dihiasi mural di tingkat lapan, kita sudah boleh melihat gambaran seperti Kempangkalan Everest, manakala apabila sampai ke tingkat 17, kita dapat melihat gambaran puncak Everest. Jadi, memang ini tangga yang sangat istimewa,” katanya.

Cadangan menjadikan Menara KBS sebagai lokasi latihan secara berkala dilihat mampu memperluas akses masyarakat kepada aktiviti tower running, selain menyokong usaha KBS membudayakan gaya hidup aktif dan sihat menjelang sambutan Hari Sukan Negara pada Oktober depan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.