Air milik semua, tetapi bila paip kering siapa menanggung beban

Foto hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Gangguan bekalan air memberi kesan tidak sama kepada semua, menambah beban kerja penjagaan di rumah khususnya untuk wanita.
  • Dasar perlu memasukkan perspektif gender dalam perancangan, respons gangguan dan pengukuran kebolehpercayaan, bukan hanya sambungan paip.
  • Kekurangan data terperinci tentang akses wanita menghalang dasar yang tepat untuk kebersihan, pengurusan haid dan keperluan penjagaan.
  • Wanita mesti diberi ruang dalam proses membuat keputusan dan peta isi rumah rentan perlu memandu penempatan bantuan.

Pada 25 April 2026, Malaysia melancarkan Dasar Air Negara sempena Sambutan Hari Air Sedunia peringkat kebangsaan di Melaka dengan tema “Air Milik Semua”.

Sebulan sebelumnya, Hari Air Sedunia 2026 di peringkat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pula memberi tumpuan khusus kepada “Water and Gender”.

Pertemuan dua agenda ini sepatutnya membawa kita kepada satu soalan yang jarang masuk ke dalam statistik bekalan air: apabila air terputus, adakah semua pengguna benar-benar menanggung beban yang sama?

Dasar Air Negara 2026 meletakkan keterjaminan dan ketersediaan air sebagai asas kepada kesejahteraan rakyat serta daya saing negara.

Ini langkah penting. Malaysia kini tidak lagi sekadar berdepan persoalan membina loji dan paip, tetapi juga bagaimana memastikan sistem air kekal berdaya tahan, cekap dan boleh dipercayai ketika permintaan meningkat, cuaca berubah dan infrastruktur semakin tertekan.

Namun, kebolehpercayaan bekalan mempunyai dimensi sosial yang tidak boleh dilihat hanya melalui jumlah akaun terjejas, kadar air tidak terhasil, kapasiti loji atau tempoh pemulihan.

Apabila paip berhenti mengalir, kerja di dalam rumah tidak berhenti. Makanan masih perlu disediakan, anak perlu dimandikan, pakaian perlu dicuci, warga emas dan ahli keluarga yang sakit perlu dijaga, sementara kebersihan diri termasuk pengurusan haid tetap perlu diteruskan.

Di sinilah isu wanita perlu dilihat sebagai sebahagian daripada tadbir urus air, bukan isu sampingan.

Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita 2025–2030 yang diterbitkan Jabatan Pembangunan Wanita pada 2026 memberi petunjuk penting.

Dalam analisis ketersediaan
data berkaitan Matlamat Pembangunan Mampan, dokumen itu merekodkan bahawa data mengenai akses penduduk kepada air bersih tersedia.

Tetapi data khusus tentang wanita berumur 15 hingga 49 tahun yang mempunyai akses kepada sumber air lebih baik mengikut lokasi dan kekayaan masih tidak tersedia.

Begitu juga data mengenai wanita yang mempunyai tempat persendirian untuk membersihkan diri dan menukar keperluan ketika haid.

Tanda bahawa isu ini semakin mendapat tempat sebenarnya sudah muncul menjelang 2026. Dalam Dewan Rakyat pada 25 November 2025, perbahasan mengenai “Infrastruktur dan Akses Wanita” mengaitkan ketidakstabilan air di kawasan pedalaman dengan kebersihan, sanitasi dan pengurusan haid.

Malah turut mencadangkan program air bersih yang memberi perhatian khusus kepada keperluan wanita.

Ini menunjukkan persoalannya bukan lagi sama ada gender relevan kepada air, tetapi bagaimana keprihatinan itu diterjemahkan ke dalam sistem penyampaian.

Jurang ini mungkin kelihatan kecil, tetapi maknanya besar. Negara boleh mengetahui berapa ramai penduduk mempunyai akses kepada air.

Tetapi masih sukar menjawab dengan terperinci bagaimana ketidakstabilan bekalan memberi kesan berbeza kepada wanita mengikut pendapatan, lokasi dan tanggungjawab penjagaan.

Isu kebolehpercayaan bekalan pula kekal nyata pada 2026.

Dalam Dewan Rakyat pada Januari lalu, masalah air di Labuan dibangkitkan selepas gangguan berpanjangan yang menjejaskan lebih 10,000 pengguna pada Disember 2025.

Wakil Labuan turut menceritakan keadaan bekalan yang pernah terputus hampir 15 hari sehingga menyukarkan urusan menghantar anak ke sekolah dan memasak, malah bekalan air mineral turut kehabisan.

Pada 4 Februari, kerajaan menjelaskan di Dewan Rakyat bahawa peruntukan khas RM300 juta telah disediakan bagi penyelenggaraan dan naik taraf infrastruktur air Labuan, termasuk pembaikan paip usang serta naik taraf mekanikal dan elektrikal.

Beberapa projek jangka pendek telah disiapkan, manakala langkah sederhana dan panjang sedang diteruskan.

Kes Labuan menunjukkan bahawa masalah air pada 2026 bukan semata-mata persoalan “ada paip atau tiada paip”. Isunya ialah sama ada paip itu boleh diharap.

Di Kinarut, Sabah, gangguan bekalan yang berterusan pada Januari 2026 turut mencetuskan kebimbangan terhadap beban isi rumah yang mempunyai kanak-kanak, warga emas, masalah kesihatan dan tanggungjawab penjagaan.

Kenyataan itu penting kerana ia membawa perbincangan air keluar daripada bahasa kejuruteraan dan masuk ke ruang kehidupan seharian.

Siapakah yang menyusun semula rutin keluarga apabila air terputus? Siapakah yang menyimpan air, mengurus penggunaannya, mencari bekalan alternatif dan memastikan keperluan kebersihan ahli keluarga terus dipenuhi?

Kita tidak seharusnya terus membuat andaian bahawa semua tugas itu dilakukan wanita. Struktur keluarga Malaysia semakin berubah dan lelaki juga memikul kerja penjagaan.

Tetapi justeru itu, kita memerlukan data yang lebih baik supaya dasar tidak dibina atas andaian, sama ada andaian bahawa wanita pasti menanggung semuanya atau bahawa gangguan air bersifat neutral kepada semua pengguna.

Tahun 2026 sebenarnya menyediakan peluang terbaik untuk mempertemukan dua agenda yang selama ini banyak bergerak secara berasingan.

Pada 10 Mac, PETRA menganjurkan Seminar Pemerkasaan Wanita: Keseimbangan Kerjaya dan Kehidupan sebagai salah satu inisiatif di bawah Dasar Wanita Negara. Pada 25 April, kementerian yang sama melancarkan Dasar Air Negara.

Di peringkat antarabangsa pula, tema Hari Air Sedunia 2026 secara jelas menuntut wanita dan kanak-kanak perempuan diletakkan bukan sahaja sebagai pengguna air, tetapi juga sebagai pemimpin dan peserta dalam keputusan berkaitan air.

Maka langkah seterusnya bukan mencipta “dasar air untuk wanita” yang terpisah daripada pengguna lain. Sebaliknya, perspektif gender perlu dimasukkan ke dalam cara sistem air menilai impak, merancang tindak balas gangguan dan mendapatkan maklum balas pengguna.

Sebagai contoh, laporan gangguan boleh bergerak melangkaui jumlah akaun terjejas kepada pemetaan kategori isi rumah rentan.

Penempatan lori tangki dan tangki statik boleh mengambil kira kawasan yang mempunyai ramai warga emas, keluarga berpendapatan rendah, pusat jagaan dan komuniti dengan kapasiti simpanan air yang terhad.

Kajian kepuasan pengguna pula boleh menilai beban masa dan kerja penjagaan ketika gangguan, bukan hanya tempoh air terputus.

Lebih penting, wanita perlu mempunyai ruang lebih besar dalam perundingan komuniti, pengurusan air setempat dan proses membuat keputusan.

Ini bukan kerana wanita mempunyai hubungan “semula jadi” dengan air, tetapi kerana pengalaman pengguna yang berbeza boleh mendedahkan kelemahan sistem yang tidak kelihatan dalam laporan teknikal.

Malaysia sudah berada pada tahap di mana kejayaan sektor air tidak patut diukur hanya melalui sambungan paip. Negara perlu bergerak daripada ukuran akses kepada ukuran kebolehpercayaan
dan daya tahan sosial. Slogan “Air Milik Semua” membawa tanggungjawab yang besar.

Jika air benar-benar milik semua, maka dasar juga perlu memahami bahawa apabila air hilang, kesannya tidak semestinya sama kepada semua.

Dasar Air Negara 2026 telah membuka ruang untuk transformasi. Cabaran selepas ini ialah memastikan transformasi itu bukan sahaja menjadikan sistem air lebih cekap, tetapi juga lebih peka
terhadap siapa yang menanggung kos ketika sistem gagal.

Kerana sebuah paip mungkin kelihatan neutral. Tetapi apabila paip itu kering, kehidupan di sekelilingnya tidak pernah benar-benar neutral.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Mohd Firdaus Abdullah
Penyelaras Sarjana Sastera (Sejarah Malaysia)
Pusat Kajian Sejarah
Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan
Universiti Kebangsaan Malaysia

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.