Lima mangsa nahas helikopter dibawa ke Miri selepas pengecaman

Foto RTM

MIRI, 9 September – Mayat lima mangsa nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, diterbangkan ke Miri selepas proses pengecaman selesai di lokasi kejadian.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengecaman awal mangsa berdasarkan barangan peribadi, cebisan pakaian dan kedudukan tempat duduk.
  • Sampel DNA ahli keluarga diambil untuk melengkapkan proses pengecaman kerana jasad tidak sempurna.
  • Operasi melibatkan 67 pegawai dan anggota daripada beberapa agensi termasuk PDRM, PGA, bomba, sukarelawan dan penduduk kampung.
  • Penduduk kampung turut membantu memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api di lapangan terbang selepas helikopter terhempas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, pengecaman awal kesemua mangsa dilakukan berdasarkan barangan peribadi, cebisan pakaian dan kedudukan tempat duduk.

Sampel DNA ahli keluarga turut diambil bagi melengkapkan proses pengecaman.

“Kita telah mengambil sampel DNA mereka untuk tujuan pengecaman, walaupun kesemua jasad yang dikenal pasti tidak ada satu pun yang sempurna,” katanya.

Beliau berkata dalam sidang media berhubung Kemalangan Helikopter 9M-LLF di Long Lellang, Baram di Bilik VIP Lapangan Terbang Miri.

Operasi membawa keluar mangsa dari Long Lellang ke Miri melibatkan beberapa agensi, manakala proses selanjutnya termasuk bedah siasat dan pengurusan jenazah akan dilakukan di Miri.

Sementara itu, beliau berkata penduduk kampung turut membantu memadamkan kebakaran selepas helikopter berkenaan terhempas di kawasan lapangan terbang berkenaan.

“Apabila helikopter terhempas, ia terus terbakar. Penduduk kampung yang berada di situ turut membantu memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api yang ada di lapangan terbang berkenaan,” katanya lagi.

Jelas beliau, Helikopter tersebut juga telah diselenggara pada 24 Ogos 2026 yang membolehkan ianya terbang untuk 100 jam penerbangan.

Operasi tersebut juga telah membabitkan 67 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion ke-12 , Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, sukarelawan serta bantuan penduduk Kampung.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.