PM zahir takziah kepada keluarga juruterbang nahas helikopter

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 9 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Kapten Zainol Afiq yang terkorban dalam nahas helikopter berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram.

RINGKASAN BERITA AI
  • Anwar menghubungi bapa Allahyarham, Bee Sham Ahmad, menyampaikan takziah bagi pihak beliau, Dr Wan Azizah dan keluarga.
  • Beliau mengimbau jasa Allahyarham yang menerbangkannya sepanjang kempen PRU15, kenangan digambarkan menyentuh hati.
  • Bee Sham mengesahkan membawa jenazah ke Senawang, Negeri Sembilan bersama tujuh ahli keluarga dari Semenanjung.
  • Kerajaan MADANI dijamin akan memberi perhatian, bantuan dan pembelaan sewajarnya kepada keluarga mangsa dan keperluan mereka.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata telah menghubungi bapa Allahyarham, Bee Sham Ahmad bagi menyampaikan salam takziah daripada beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta keluarga kepada seluruh keluarga Allahyarham.

Anwar turut mengimbau kenangan ketika Allahyarham bertanggungjawab menerbangkannya sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Dalam keadaan kita susah dulu, dia bawa kita ke sana ke sini. Sangat baik orangnya, sopan. Nak naik, dia salam, nak turun pun salam. Kita juga berdoa bersama-sama,” katanya.

Sementara itu, Bee Sham Ahmad memaklumkan beliau bersama tujuh anggota keluarga dari Semenanjung telah pulang ke Sarawak dan berhasrat membawa jenazah Allahyarham ke Senawang, Negeri Sembilan.

“Terima kasih, PM. Saya bersama tujuh orang dari Semenanjung balik ke sini. Saya berhasrat membawa Allahyarham ke Senawang, Negeri Sembilan,” katanya.

Menurut Anwar, kenangan bersama Allahyarham amat menyentuh hati, manakala pemergian itu merupakan ujian berat khususnya kepada keluarga serta anak-anak Allahyarham yang masih kecil.

Beliau memberi jaminan Kerajaan MADANI akan memastikan segala bantuan dan keperluan keluarga Allahyarham serta keluarga mangsa lain diberikan perhatian dan pembelaan sewajarnya.

Anwar turut mendoakan agar seluruh keluarga dan waris mangsa dikurniakan kekuatan, ketabahan serta kesabaran dalam menghadapi hari-hari mendatang.

“Semoga Allah SWT mengasihani mereka, mengampunkan segala dosa, melimpahkan rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka dalam kalangan para syuhada.

“Malaysia meratapi pengorbanan dan limpah bakti mereka kepada negara,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.