
JOHOR BAHRU, 9 Sept – Mahkamah Tinggi Johor Bahru melepaskan dan membebaskan lapan lelaki daripada pertuduhan mengedar 11,806 gram heroin, empat tahun lalu.
- Mahkamah melepaskan dan membebaskan semua tertuduh kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
- Terdapat perbezaan berat rampasan: berat kasar 20,410 gram berbeza dengan penimbangan ahli kimia 17,636.7 gram.
- Isu lokasi rampasan apabila sebahagian kotak polistirena ditemui di perkarangan rumah manakala sebahagian lagi di atas lori, namun disatukan dalam pertuduhan.
Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kesemua tertuduh.
Tertuduh terdiri daripada Gan Poh Guan, Tay Choon Hua, Cheng Tee Tee, Woon Kim Foo, Lee Kok Yeng, Cheong Suan Nean dan Tan Teck Joo, manakala seorang lagi tertuduh, Wong Yit Liang, telah meninggal dunia pada 31 Ogos 2025.
Kesemua tertuduh yang bekerja sebagai pembungkus ikan didakwa mengedar dadah berbahaya itu yang disembunyikan dalam kotak polistirena di sebuah premis pembungkusan ikan.
Mahkamah mendapati terdapat beberapa kelemahan dalam kes pendakwaan, termasuk perbezaan berat dadah yang dirampas.
Berat kasar rampasan direkodkan sebanyak 20,410 gram, manakala penimbangan ahli kimia menunjukkan berat 17,636.7 gram.
Mahkamah turut mengambil kira isu lokasi rampasan apabila sebahagian kotak polistirena ditemukan di perkarangan rumah, manakala sebahagian lagi berada di atas sebuah lori di luar premis.
Bagaimanapun, semua rampasan itu disatukan dalam pertuduhan sebagai rampasan di sebuah rumah.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nordiana Zubir.
Terdahulu, kesemua tertuduh didakwa pada 26 November 2021 mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.