
KUALA LUMPUR, 8 September – Penyertaan Malaysia dalam Pertandingan Kemahiran Dunia (WorldSkills Competition) Shanghai 2026 bukan sekadar memburu pingat, sebaliknya menjadi platform untuk mengukur tahap kemahiran, dan keupayaan bakat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara di pentas dunia.
- Pertandingan dijadikan penanda aras untuk meningkatkan standard kemahiran TVET sejajar kehendak industri dan perkembangan teknologi.
- Pengalaman bertanding peringkat dunia penting untuk kenal pasti kekuatan dan kelemahan bagi penambahbaikan berterusan.
- Kontinjen 22 peserta dengan lapan sandaran utama selepas latihan intensif; persiapan logistik, teknikal dan kebajikan diatur rapi.
- Kerajaan beri sokongan jelas; insentif kewangan dan hadiah, serta kehadiran Perdana Menteri sebagai tanda sokongan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pertandingan berkenaan perlu dilihat sebagai penanda aras kepada keupayaan peserta dalam memastikan standard kemahiran negara terus dipertingkatkan sejajar dengan keperluan industri dan perkembangan teknologi.
“Ini bukan soal wang ringgit atau hadiah, tetapi sebagai motivasi untuk mencapai kemenangan. Yang lebih penting ialah kita membawa nama negara dan muncul sebagai juara dunia dalam WorldSkills.
“Insya-Allah, saya yakin kita mampu mencapainya. Saya berharap para jurulatih dan pakar terus memberikan panduan terbaik kepada peserta dan menjadikan ini sebagai penanda aras kejayaan negara.” katanya semasa berucap di Majlis Perjumpaan Khas Timbalan Perdana Menteri Dengan Delegasi Negara Worldskills Competition Shanghai 2026 yang berlangsung di ibu negara.
Ujar beliau, pengalaman bertanding di peringkat dunia juga penting sebagai proses pembelajaran yang membolehkan kekuatan dan kelemahan kemahiran TVET negara dikenal pasti untuk penambahbaikan berterusan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kerja Raya merangkap Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata penyertaan dalam WorldSkills Competition Shanghai 2026 menjadi peluang untuk menguji tahap keupayaan peserta selepas menjalani latihan dan persediaan intensif.
Beliau berkata daripada 22 peserta, lapan merupakan sandaran utama negara berdasarkan prestasi konsisten dan kejayaan meraih pingat emas dalam pertandingan terdahulu.
“Sebagaimana dalam Sukan Olimpik, Malaysia masih belum pernah meraih pingat emas. Dalam bidang kemahiran juga kita belum pernah memperoleh emas. Jadi, kali ini kita benar-benar berazam untuk merealisasikan sasaran tersebut. ”
“Daripada 22 peserta, kita memberi tumpuan khusus kepada lapan peserta yang menjadi sandaran utama kita. Namun, harapan kita tentunya bukan hanya kepada lapan peserta, malah lebih daripada itu. Lapan peserta ini menjadi tumpuan kerana mereka telah menunjukkan prestasi konsisten dan berjaya meraih emas dalam pertandingan-pertandingan sebelum ini.”
Beliau berkata persiapan menyeluruh dari aspek logistik, teknikal dan kebajikan peserta serta pakar telah diatur bagi memastikan kontinjen negara tampil dengan tahap disiplin dan kesiapsiagaan yang tinggi.
Tambah beliau, pertandingan berkenaan akan turut dihadiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 September sebagai tanda sokongan terhadap kontinjen negara.
Sementara itu, kerajaan turut menyediakan insentif kepada peserta yang berjaya membawa pulang pingat, dengan pemenang emas menerima RM50,000 termasuk sumbangan peribadi RM10,000 daripada Ahmad Zahid, selain sebuah kereta Perodua Myvi.
Pemenang perak pula akan menerima RM20,000 bersama sebuah motosikal elektrik gred A, manakala pemenang gangsa menerima RM10,000.
Peserta yang memperoleh Medallion of Excellence akan menerima RM4,000, manakala pemenang Best of Nations yang merupakan pemenang pingat emas akan menerima tambahan RM4,000.
Jurulatih dan kumpulan pakar yang membimbing peserta sehingga mencapai kemenangan turut akan menerima ganjaran RM10,000.