Hakim Danish keempat terpantas, serlah potensi di Sepang

Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli yang mewakili pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi bersama pengurus pasukan SIC Racing Zulfahmi Khairuddin semasa sesi latihan menjelang perlumbaan MotoGP Malaysia 2026 di SIC, hari ini / Foto BERNAMA

SEPANG, 30 Oktober – Pelumba negara, Hakim Danish Ramli mempamerkan aksi memberangsangkan pada hari pertama Grand Prix Malaysia 2026 apabila menamatkan sesi latihan kategori Moto3 di kedudukan keempat terpantas di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC), hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hakim Danish hanya ketinggalan 0.146 saat kepada pendahulu David Almansa, petanda positif menjelang sesi kelayakan.
  • Prestasinya menyuntik semangat peminat tempatan yang mengharapkan momentum positif di litar sendiri.
  • Saingan hari kedua esok lebih sengit apabila pelumba memburu kedudukan kelayakan sebelum Sprint MotoGP pukul 3.00 petang.

Hakim Danish hanya ketinggalan 0.146 saat di belakang pendahulu sesi, David Almansa, yang mencatat masa terpantas 2 minit 11.427 saat, sekali gus memberikan petanda positif menjelang sesi kelayakan esok.

Pelumba Rico Salmela menamatkan sesi di kedudukan kedua, manakala Veda Pratama di tempat ketiga.

Prestasi Hakim Danish itu pastinya menyuntik semangat kepada peminat tempatan yang mengharapkan pelumba negara berkenaan mampu meneruskan momentum positif dalam saingan seterusnya di laman sendiri.

Dalam kategori MotoGP, pelumba Ducati Lenovo Team, Marc Marquez mengungguli sesi latihan selepas mencatat masa terpantas 1 minit 57.000 saat, meskipun terjatuh di selekoh 15 sebelum kembali ke litar dan memperbaiki catatan masanya.

Adiknya, Alex Marquez, menamatkan sesi di tempat kedua, manakala pelumba Jepun, Ai Ogura, melengkapkan kelompok tiga terbaik.

Sementara itu, pencabar kejuaraan, Jorge Martin, hanya melengkapkan tiga pusingan sebelum menarik diri daripada baki sesi bagi mengelakkan kecederaan pergelangan tangan yang dialaminya bertambah serius.

Martin dijangka kembali beraksi pada sesi latihan bebas kedua esok, bergantung pada tahap kecergasannya.

Dalam kategori Moto2, pendahulu kejuaraan dunia, Manuel Gonzalez, bangkit daripada insiden terjatuh pada sesi latihan bebas pertama untuk mencatat masa terpantas 2 minit 3.737 saat.

Gonzalez mengatasi Alonso Lopez yang ketinggalan 0.144 saat, manakala Daniel Holgado melengkapkan kelompok tiga terbaik. Pencabar kejuaraan, Izan Guevara, menamatkan sesi di kedudukan keempat.

Saingan hari kedua esok dijangka lebih sengit apabila pelumba ketiga-tiga kategori memburu kedudukan terbaik dalam sesi kelayakan, sebelum perlumbaan Sprint MotoGP yang dijadualkan berlangsung pada pukul 3.00 petang.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.