Sistem pintar IJM percepat bantuan, pulih aliran trafik

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (tiga, kiri) merasmikan Pusat Kawalan Trafik Lebuh Raya Pintar Kumpulan Tol IJM di ibu negara – Foto RTM

KUALA LUMPUR, 8 September– Sistem Pusat Kawalan Trafik Pintar Kumpulan Tol IJM membantu mempercepatkan pengesanan insiden di lebuh raya, membolehkan bantuan disalurkan lebih awal dan menyegerakan pemulihan aliran trafik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tindak balas pasukan peronda dikurangkan daripada lebih 15 minit kepada sekitar lapan hingga 10 minit.
  • Pusat kawalan mengintegrasikan 144 CCTV, 87 VIDS, 35 ANPR dan 22 VMS, dikendalikan IJM untuk BESRAYA, NPE dan LEKAS.
  • Kerajaan komited mempercepatkan Pelan Hala Tuju Sistem Pengangkutan Pintar Malaysia 2030 termasuk AI, analitik data raya dan IoT.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sistem berkenaan membolehkan keadaan trafik dipantau secara masa nyata dan insiden dikesan secara automatik tanpa perlu menunggu laporan daripada pengguna jalan raya.

“Kebiasaanya, apabila berlaku kejadian seperti kenderaan rosak atau kemalangan, pemandu perlu membuat laporan terlebih dahulu sebelum tindakan dapat diambil. Ini menyebabkan tindak balas kita sedikit lewat.

“Namun, menerusi sistem ini, pemantauan dapat dilakukan secara masa nyata oleh pegawai yang sentiasa memantau paparan video, tanpa perlu menunggu laporan daripada orang awam.

“Sistem ini juga akan mengeluarkan penggera atau amaran secara automatik apabila berlaku sesuatu kejadian, sekali gus membolehkan tindakan diambil dengan lebih cepat, ” katanya kepada media selepas merasmikan Pusat Kawalan Trafik Lebuh Raya Pintar Kumpulan Tol IJM di sini.

Datuk Seri Alexander menjelaskan, penggunaan sistem pintar itu membolehkan tempoh tindak balas pasukan peronda lebuh raya dikurangkan daripada lebih 15 minit sebelum ini kepada sekitar lapan hingga 10 minit.

Pusat Kawalan Trafik Pintar Kumpulan Tol IJM mengintegrasikan 144 kamera litar tertutup (CCTV), 87 unit Sistem Pengesanan Insiden Video (VIDS), 35 unit Sistem Pengecaman Nombor Pendaftaran Automatik (ANPR) dan 22 unit Paparan Maklumat Boleh Ubah (VMS).

Ia dikendalikan IJM Corporation Bhd (IJM) membabitkan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS).

Sementara itu, Datuk Seri Alexander dalam ucapannya memaklumkan setiap hari, kira-kira enam juta kenderaan menggunakan rangkaian lebuh raya di seluruh negara.

“Kini ada 34 lebuh raya bertol sepanjang 2,151 kilometer yang dikendalikan oleh 28 syarikat konsesi.

“Dengan pertambahan jumlah kenderaan dan keperluan pengguna, lebuh raya perlu berkembang daripada sekadar infrastruktur fizikal kepada ekosistem mobiliti pintar yang lebih selamat, lancar dan cekap.

“Sehubungan itu, kerajaan melalui Kementerian Kerja Raya (KKR) komited mempercepatkan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS),” katanya.

Pelaksanaan ITS akan dipandu oleh Pelan Hala Tuju Sistem Pengangkutan Pintar Malaysia 2030 yang merangkumi penggunaan kecerdasan buatan (AI), analitik data raya, Internet benda (IoT), pengurusan lorong dinamik, maklumat perjalanan masa nyata serta pusat pengurusan trafik bersepadu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.