Keluarga lega enam pendaki Trans Gerah selamat

Ahmad Ridhuan Abdullah bercakap kepada media ketika ditemui di Balai Polis Gerik, Perak – Foto RTM

GERIK, 8 September – “Lega.” Itu perasaan keluarga enam pendaki Ekspedisi Trans Gerah yang dilaporkan hilang di Gunung Gerah, Kelantan sebelum ditemukan selamat di Kem Kulim, petang Isnin.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keluarga tidak lena tiga hari tiga malam, risau setelah pendaki gagal keluar mengikut jadual.
  • Mereka dihubungi melalui panggilan video di Pos Kemar dan mendapat rawatan di situ.
  • Ahmad Ridhuan mengucapkan terima kasih kepada semua agensi dan pasukan SAR yang terlibat.

Abang ipar kepada salah seorang pendaki, Ahmad Ridhuan Abdullah, 44, berkata keluarga mereka tidak tidur lena selama tiga hari tiga malam menunggu khabar berita kehilangan Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin.

Menurutnya, ibu bapa dan seluruh ahli keluarga sebelum itu amat bimbang selepas kumpulan berkenaan gagal keluar mengikut jadual.

“Kami dapat berhubung dengan mereka melalui panggilan video sebaik sahaja mereka tiba di Pos Kemar. Di situ terdapat perkampungan dan sebuah sekolah, jadi mereka telah mendapatkan rawatan di sana.

“Inspektor Naim yang berada di lokasi turut menghubungi saya dan memaklumkan bahawa mereka semua selamat dan berada dalam keadaan sihat, tanpa sebarang kecederaan, termasuk dua orang malim gunung, katanya.

Ahmad Ridhuan turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan pasukan yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana selepas lebih lima hari, mereka akhirnya berjaya ditemui. Sepatutnya mereka keluar pada Khamis, tetapi apabila tidak pulang, kami membuat laporan,” katanya lagi.

Menurut beliau, keenam-enam pendaki termasuk anak saudaranya, Ahmad Raef, 9, mempunyai pengalaman dalam aktiviti pendakian.

Malah, kanak-kanak itu telah menyertai aktiviti mendaki sejak kecil dan pernah menawan beberapa gunung.

Sebelum ini, Wan Ahmad Aslam Wan Zairudin, 39, isterinya Siti Zulaiha Norizan, 39, serta dua anak mereka, Diya Raisha, 13, dan Ahmad Raef,9, bersama dua malim gunung, Shafiee Sidek, 49, dan Hazman Mamat, 43, dilaporkan hilang selepas mendaki gunung berkenaan pada 29 Ogos.

Mereka gagal keluar dari hutan mengikut perancangan iaitu pada 3 September sebelum ahli keluarga membuat laporan polis.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.