
GERIK, 7 September — Enam pendaki Gunung Trans Gerah (GBB) yang sebelum ini dikhuatiri hilang disahkan selamat selepas pasukan penyelamat berjaya berhubung dengan malim gunung yang bersama kumpulan itu, hari ini.
- Pasukan penyelamat akan digerakkan ke lokasi untuk bertemu dan membawa keluar kesemua pendaki.
- Kumpulan kini berada di laluan pendakian, perjalanan ke lokasi mengambil masa kira-kira empat hingga lima jam.
- Masa penurunan bergantung kepada faktor keselamatan di lokasi dan keadaan fizikal semua pendaki.
- Kumpulan memasuki Gunung Trans Gerah di Kelantan sebelum berakhir di kawasan Gerik, Perak; terdiri daripada empat keluarga, seorang kanak-kanak, dua malim.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pasukan penyelamat akan digerakkan ke lokasi bagi bertemu dan membawa keluar kesemua pendaki terbabit.
Menurutnya, kumpulan berkenaan kini berada di laluan pendakian, dengan perjalanan ke lokasi mengambil masa kira-kira empat hingga lima jam.
Beliau berkata, sama ada mereka dibawa turun malam ini atau esok pagi bergantung kepada faktor keselamatan di lokasi serta keadaan fizikal kesemua pendaki.
“Kalau keadaan keselamatan mengizinkan, kita bawa turun. Kalau tak boleh, esok pagi kita akan bawa turun,” katanya ketika dihubungi RTM hari ini.
Semalam, media melaporkan enam individu terbabit memasuki kawasan Gunung Trans Gerah di Hutan Simpan Kekal Lojing, Kelantan, sebelum perjalanan pendakian mereka berakhir di kawasan Gerik, Perak.
Kumpulan itu terdiri daripada empat sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak serta dua malim gunung.