
PUTRAJAYA, 7 September – Bekas Pengarah Besar FELDA direman lima hari bermula hari ini hingga 11 September bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah.
- Perintah reman dikeluarkan di Mahkamah Majistret Putrajaya oleh Hakim Ezrene Zakariah terhadap bekas pengarah FELDA.
- Disiasat atas dakwaan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah berkaitan pelantikan pemaju serta penjualan tanah FELDA.
- SPRM membuka tujuh kertas siasatan melalui Op FELLA, meneliti transaksi pelaburan dan pengambilalihan aset FELDA/FIC 2010-2020.
Perintah reman itu dikeluarkan Hakim Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Lelaki berusia lingkungan 60-an itu disiasat berhubung dakwaan salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah membabitkan pelantikan syarikat pemaju bagi sebuah projek di Kuala Lumpur serta urusan penjualan tanah milik badan berkanun berkenaan.
Suspek turut disyaki terbabit dalam urusan penjualan tanah berkenaan kepada sebuah syarikat yang mempunyai kepentingan dengan syarikat pemaju.
Terdahulu, suspek tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya kira-kira 9.16 pagi dengan menaiki kenderaan SPRM bagi proses permohonan reman.
Beliau ditahan kira-kira 4 petang semalam selepas hadir ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya untuk memberikan keterangan.
Sementara itu, seorang lagi lelaki berusia lingkungan 50-an yang turut ditahan semalam dimasukkan ke hospital akibat masalah kesihatan, dengan proses permohonan reman terhadapnya dijalankan di hospital berkenaan.
Sebelum ini, SPRM membuka tujuh kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan FELDA serta anak syarikatnya, FELDA Investment Corporation Sdn. Bhd. (FIC).
Siasatan khas berskala besar yang dikenali sebagai Op FELLA itu memfokuskan transaksi pelaburan dan pengambilalihan aset oleh pengurusan FELDA dan FIC bagi tempoh 10 tahun, antara 2010 hingga 2020.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.