Kemerdekaan diri mualaf sempena Malaysia merdeka

Gambar hiasan/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Syahadah adalah permulaan kemerdekaan hakiki; pengisytiharan bahawa diri hanya tunduk kepada Allah.
  • Bebas daripada perhambaan kepada makhluk, menjadikan hubungan dengan Allah sebagai ukuran kemuliaan insan.
  • Merdeka daripada hawa nafsu bermakna mampu menolak larangan dan istiqamah pada kebaikan walau berkorban.
  • Pembinaan mualaf perlu ilmu, bimbingan dan sokongan masyarakat supaya budaya bertentangan dan pengaruh lama ditinggalkan berperingkat.

Setiap kali bulan kemerdekaan tiba, kita diingatkan tentang perjuangan membebaskan tanah air daripada penjajahan. Jalur Gemilang dikibarkan, lagu patriotik berkumandang dan sejarah perjuangan bangsa kembali dikenang.

Namun, di sebalik kemerdekaan sebuah negara, terdapat satu lagi bentuk kemerdekaan yang tidak kurang pentingnya, iaitu kemerdekaan diri.

Bagi seorang mualaf, kemerdekaan bukan hanya tentang bebas daripada penjajahan fizikal, tetapi juga tentang membebaskan jiwa daripada segala bentuk belenggu yang menghalang seseorang daripada mengenal, mencintai dan mengabdikan diri kepada Allah SWT.

Syahadah merupakan titik permulaan kepada sebuah kemerdekaan yang hakiki. Apabila seseorang mengucapkan “Ashhadu alla ilaha illallah, wa asyhadu anna Muhammadan rasulullah”, ia bukan sekadar pertukaran agama, tetapi satu pengisytiharan bahawa dirinya tidak lagi tunduk kepada selain Allah SWT.

Mualaf meninggalkan kepercayaan dan amalan yang tidak selari dengan Islam, lalu memilih jalan tauhid sebagai pedoman kehidupan.

Perjalanan tersebut mungkin tidak mudah kerana masih terdapat pengaruh keluarga, lingkungan sosial, budaya, kebiasaan dan kenangan kehidupan lalu yang perlu diurus dengan hikmah.

Merdeka Daripada Perhambaan Kepada Makhluk

Kemerdekaan pertama bagi seorang mualaf ialah membebaskan diri daripada perhambaan kepada makhluk dan mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT.

Islam mengajar bahawa manusia diciptakan bukan untuk menjadi hamba kepada manusia, status, kekayaan, populariti atau tekanan masyarakat, tetapi sebagai hamba Allah.

Dalam kehidupan sebelum memeluk Islam, seseorang mungkin terikat dengan pelbagai bentuk kepercayaan, adat, pandangan manusia atau tekanan sosial.

Setelah menerima Islam, mualaf diajak untuk memahami bahawa kemuliaan manusia tidak ditentukan oleh penerimaan manusia semata-mata, tetapi oleh hubungan dengan Allah SWT.

Kemerdekaan ini bukan bermaksud mualaf memutuskan hubungan dengan keluarga atau masyarakat bukan Islam. Sebaliknya, Islam mengajar supaya hubungan kekeluargaan tetap dipelihara selagi tidak membawa kepada kemaksiatan atau menyalahi akidah.

Mualaf perlu membina kebebasan jiwa tanpa kehilangan akhlak, kasih sayang dan penghormatan kepada insan lain.

Hakikatnya, seseorang boleh kelihatan bebas pada zahirnya, tetapi jiwanya masih diperhambakan oleh pandangan manusia. Dia takut dikritik, takut kehilangan penerimaan, takut berbeza daripada orang lain dan akhirnya sanggup mengorbankan prinsip agama demi mendapatkan pengiktirafan manusia.

Maka, kemerdekaan seorang mualaf ialah apabila hatinya berkata: “Aku menghormati manusia, tetapi aku hanya tunduk kepada Allah.”

Merdeka Daripada Mengikuti Hawa Nafsu

Kemerdekaan yang kedua ialah merdeka daripada belenggu hawa nafsu. Dalam kehidupan moden, kebebasan sering ditafsirkan sebagai kemampuan melakukan apa sahaja yang diingini. Islam memberikan pengertian yang lebih mendalam.

Tidak semua perkara yang kita mahu baik untuk diri kita, dan tidak semua perkara yang kita sukai membawa kebahagiaan yang sebenar.

Seorang mualaf mungkin masih berhadapan dengan kebiasaan lama seperti cara berpakaian, pergaulan, hiburan, pemakanan, gaya hidup atau bentuk hubungan sosial yang belum sepenuhnya selari dengan tuntutan Islam. Proses perubahan ini memerlukan kesabaran dan pendidikan yang berterusan.

Islam tidak menuntut perubahan manusia berlaku dalam satu malam. Sebaliknya, proses menjadi Muslim yang lebih baik ialah sebuah perjalanan.

Mualaf perlu diberikan ilmu, bimbingan, sokongan emosi dan lingkungan yang positif supaya perubahan tersebut berlaku dengan kefahaman, bukan sekadar tekanan.

Kemerdekaan daripada hawa nafsu berlaku apabila seseorang mampu berkata “tidak” kepada perkara yang dilarang Allah walaupun dirinya menginginkannya, dan mampu berkata “ya” kepada kebaikan walaupun ia memerlukan pengorbanan.

Inilah kemerdekaan yang sebenar: bukan bebas melakukan apa sahaja, tetapi bebas daripada menjadi hamba kepada kehendak diri sendiri.

Merdeka Daripada Budaya yang Bertentangan Dengan Syariat Islam

Setiap manusia lahir dan membesar dalam lingkungan budaya tertentu. Budaya membentuk bahasa, makanan, pakaian, hubungan sosial, adat keluarga dan cara seseorang memahami kehidupan.

Islam tidak menolak budaya secara keseluruhannya. Bahkan, Islam menerima adat yang baik selagi tidak bercanggah dengan akidah dan syariat.

Bagi mualaf, perkara ini menjadi sangat penting. Mereka tidak semestinya perlu meninggalkan identiti etnik, bahasa, makanan tradisional atau hubungan kekeluargaan hanya kerana memeluk Islam.

Sebaliknya, mereka perlu belajar membezakan antara budaya yang neutral atau baik dengan budaya yang mengandungi unsur yang bercanggah dengan syariat.

Budaya yang bercanggah dengan akidah, mengandungi unsur syirik, khurafat, pemujaan atau amalan yang diharamkan perlu ditinggalkan secara berperingkat dengan ilmu dan kebijaksanaan.

Dalam hal ini, kemerdekaan bukan bermaksud membenci budaya asal. Kemerdekaan ialah kemampuan mualaf untuk berkata:

“Aku menghargai warisan bangsaku, tetapi agamaku menjadi panduan dalam menentukan apa yang boleh diteruskan dan apa yang perlu ditinggalkan.”

Pendekatan ini penting agar mualaf tidak merasakan bahawa memeluk Islam bermakna kehilangan seluruh identiti dirinya. Islam datang bukan untuk menghapuskan segala identiti manusia, tetapi untuk memurnikan kehidupan manusia berdasarkan tauhid dan syariat.

Merdeka Daripada Pengaruh Kehidupan Lama yang Bertentangan Dengan Islam

Syahadah ialah permulaan perjalanan, bukan garisan penamat. Mualaf mungkinBtelah meninggalkan agama terdahulu, tetapi pengaruh kehidupan lama tidak semestinya hilang serta-merta.

Ingatan, kebiasaan, hubungan sosial dan pengalaman masa lalu mungkin masih menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Oleh sebab itu, masyarakat Islam perlu memahami bahawa mualaf memerlukan proses pembinaan, bukan sekadar pengisytiharan agama.

Mualaf perlu dibimbing untuk membina rutin kehidupan Islam: mendirikan solat, mempelajari al-Quran, memahami akidah, mengenali halal dan haram, membina pergaulan yang baik serta memahami nilai kekeluargaan dalam Islam.

Dalam masa yang sama, mereka memerlukan ruang untuk bertanya tanpa dihukum dan ruang untuk belajar tanpa dipandang rendah.

Kehidupan lama yang bertentangan dengan Islam perlu ditinggalkan sedikit demi sedikit dengan kesedaran bahawa Allah SWT sedang membuka lembaran kehidupan yang baharu.

Dalam proses ini, mualaf tidak sepatutnya terus dihantui oleh masa lalu. Islam memberikan harapan bahawa seseorang yang kembali kepada Allah SWT boleh memperoleh kehidupan yang baharu. Yang penting ialah keikhlasan, taubat, kesungguhan dan istiqamah.

Maka, kemerdekaan seorang mualaf ialah apabila masa lalunya tidak lagi menjadi rantai yang mengikatnya daripada bergerak menuju Allah. Masa lalu menjadi sejarah, sedangkan Islam menjadi arah.

Kemerdekaan Yang Bermula Dari Hati

Malaysia merdeka kerana para pejuang membebaskan tanah air daripada penjajahan. Tetapi seorang Muslim perlu bertanya kepada dirinya sendiri: Sudahkah aku merdeka daripada penjajahan jiwa?

Seorang mualaf mungkin telah merdeka daripada agama terdahulu, tetapi masih boleh terbelenggu oleh hawa nafsu. Dia mungkin telah meninggalkan amalan lama, tetapi masih terikat dengan budaya yang bertentangan dengan syariat.

Dia mungkin telah mengucapkan syahadah, tetapi masih terlalu takut kepada penilaian manusia.

Oleh itu, kemerdekaan yang paling besar ialah kemerdekaan hati. Apabila hati hanya bergantung kepada Allah, manusia tidak lagi menjadi tuan kepada kita. Apabila hawa nafsu dikawal oleh iman, kita tidak lagi menjadi hamba kepada keinginan.

Apabila budaya ditimbang dengan syariat, kita tidak lagi menjadi tawanan adat. Apabila kehidupan lama ditinggalkan dengan ilmu dan hikmah, kita tidak lagi dibelenggu oleh masa lalu.

Inilah kemerdekaan diri mualaf iaitu sebuah perjalanan daripada kegelapan menuju cahaya, daripada kekeliruan menuju keyakinan, daripada keterikatan kepada makhluk menuju pengabdian kepada Allah SWT.

Merdeka Dengan Tauhid

Kemerdekaan yang hakiki bukan sekadar bebas daripada penjajahan manusia, tetapi bebas daripada segala bentuk pengabdian kepada selain Allah SWT.

Seorang mualaf yang memilih Islam sebenarnya sedang membuat satu pengisytiharan kemerdekaan yang sangat besar: bahawa hidupnya, ibadahnya, perjuangannya dan akhirnya kembalinya adalah kepada Allah SWT.

Allah SWT berfirman dalam Surah al-An‘am, ayat 162:

قُلْ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya:
“Katakanlah: Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekalian alam.”

Satu pesanan penting tentang makna kemerdekaan seorang Muslim. Hidup bukan lagi untuk memenuhi kehendak manusia, tetapi untuk mencari reda Allah.

Justeru, sempena Malaysia Merdeka, marilah kita bukan sahaja mengibarkan Jalur Gemilang sebagai lambang kebebasan negara, tetapi turut menghidupkan “Jalur Tauhid” dalam hati.

Bagi mualaf, kemerdekaan itu ialah membebaskan diri daripada perhambaan kepada makhluk, mengawal hawa nafsu, menilai budaya berdasarkan syariat dan meninggalkan pengaruh kehidupan lama yang bertentangan dengan Islam.

Merdeka negaranya daripada penjajahan;
merdeka jiwanya daripada perhambaan;
merdeka hatinya dengan tauhid;
dan merdeka hidupnya apabila hanya Allah menjadi tujuan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Muhammad Yusuf Marlon Abdullah
Pengarah
Pusat Kajian Etnik Orang Asli
Universiti Islam Selangor
E-mel: yusufmarlon@uis.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.