AI, adakah kita masih perlukah pereka

Imej janaan AI/Penulis

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • AI mengubah cara visual dihasilkan, tetapi tidak menggantikan nilai pereka; nilai kini terletak pada pemikiran, penilaian dan keputusan manusia.
  • Pereka perlu memahami manusia, mengenal pasti masalah, audiens, konsep dan mesej, bukan sekadar menghasilkan imej cantik.
  • Pendidikan multimedia harus tumpu melatih pemikiran reka bentuk, bukan hanya kemahiran perisian yang mudah lapuk.
  • Gunakan AI sebagai alat: jana banyak idea, kemudian tentukan, ubah dan pertahankan pilihan reka bentuk berdasarkan tujuan dan audiens.

“Untuk apa lagi belajar menjadi designer kalau AI sudah boleh menghasilkan design?”

Soalan ini mungkin semakin kerap bermain dalam fikiran designer dan pelajar multimedia. Dengan hanya beberapa arahan, AI kini mampu menghasilkan visual dalam hitungan saat.

Bagi pengguna, ini satu kemudahan. Lebih cepat, lebih murah dan boleh digunakan pada bila-bila masa.

Tetapi bagi mereka yang sedang belajar dan membina kerjaya dalam bidang kreatif, persoalannya jauh lebih besar:

Kalau AI sudah boleh menghasilkan design, masih relevankah kita belajar menjadi designer?

Dunia design sedang berubah lebih cepat daripada yang kita sangka.

Tidak lama dahulu, apabila seseorang memerlukan poster, logo atau bahan promosi, mereka perlu mencari designer. Idea dibincangkan, konsep dibentuk dan hasilnya mengambil masa untuk disiapkan.

Hari ini, proses itu boleh berlaku dalam beberapa saat. Taip apa yang kita mahu. Tunggu seketika. Design muncul. Tidak suka? Ubah arahan.

AI boleh mencuba lagi — dengan warna, gaya dan konsep yang berbeza.

Bagi pengguna, keadaan ini tentunya menguntungkan. Tetapi bagi designer, ia membawa satu perubahan yang sukar diabaikan.

Apabila sesiapa sahaja boleh menghasilkan visual, apa lagi yang membezakan seorang designer dengan orang biasa yang hanya tahu memberikan arahan kepada AI?

Inilah cabaran sebenar. Bukan kerana AI semakin bijak, tetapi kerana nilai yang selama ini dikaitkan dengan kemahiran seorang designer sedang mula dipersoalkan.

AI generatif telah mengubah cara visual dihasilkan.

Ia bukan lagi sekadar alat untuk mencari idea atau inspirasi. AI kini boleh menghasilkan imej, ilustrasi, poster dan pelbagai bentuk visual hanya berdasarkan arahan pengguna.

Bayangkan seseorang mahu menghasilkan poster untuk sebuah program.

Dahulu, dia perlu mencari designer, menerangkan konsep yang diinginkan dan menunggu hasil pertama.

Hari ini, dia hanya perlu menaip: “Hasilkan poster moden untuk program belia dengan gaya minimalis.” Beberapa saat kemudian, visual tersedia. Tidak berkenan dengan warna? Tukar.

Tidak suka gaya? Cuba lagi.

Tidak tahu menggunakan Photoshop atau Illustrator? Tidak mengapa.

Di sinilah sempadan mula berubah. Orang yang tidak pernah belajar design kini mampu menghasilkan sesuatu yang kelihatan seperti design.

Tetapi persoalannya: Adakah mampu menghasilkan visual bermaksud seseorang itu sudah mampu menjadi designer?

Bayangkan seorang pelajar multimedia bernama Adam.

Hampir tiga tahun dia belajar tentang warna, komposisi, tipografi dan penggunaan perisian design. Setiap tugasan mengambil masa berjam-jam untuk difikirkan dan
disiapkan.

Pada suatu hari, Adam mencuba AI. Dia menaip satu arahan untuk menghasilkan poster. Beberapa saat kemudian, visual muncul.

Dia cuba sekali lagi. Kali ini, hasilnya lebih menarik. Adam terdiam.

Sesuatu yang mengambil masa bertahun-tahun untuk dipelajarinya kini boleh dihasilkan dalam beberapa saat oleh seseorang yang mungkin tidak pernah belajar tentang design.

Lalu satu persoalan mula bermain dalam fikirannya: “Kalau AI sudah boleh buat semua ini, apa sebenarnya nilai kemahiran yang aku sedang belajar?”

Kebimbangan Adam bukan sekadar imaginasi.

Laporan Future of Jobs 2025 oleh World Economic Forum meletakkan Graphic Designers sedikit di luar kelompok 10 pekerjaan yang dijangka mengalami penurunan paling pantas menjelang 2030.

Lebih menarik, dalam laporan 2023, Graphic Designers masih dianggap sebagai pekerjaan yang berkembang secara sederhana.

Maknanya, perubahan sedang berlaku dengan pantas.

Pada masa yang sama, AI bukan lagi teknologi yang hanya digunakan oleh orang luar industri kreatif. Kajian Adobe terhadap 2,541 profesional kreatif mendapati 83 peratus telah menggunakan AI generatif dalam pekerjaan mereka.

Dalam kalangan mereka yang menggunakan teknologi tersebut, 66 peratus mengatakan AI membantu menghasilkan kandungan yang lebih baik, manakala 58 peratus menghasilkan kandungan dalam jumlah yang lebih banyak.

Namun, itu tidak bermakna designer akan hilang begitu sahaja.

International Labour Organization (ILO) pula menjelaskan bahawa walaupun kemampuan AI menghasilkan imej, video dan kandungan digital semakin meningkat.

Kebanyakan pekerjaan lebih berkemungkinan berubah bentuk daripada lenyap sepenuhnya kerana keputusan dan campur tangan manusia masih diperlukan.

Jadi mungkin kita sedang bertanya soalan yang salah.

Persoalannya bukan: “Adakah AI akan menggantikan designer?” tetapi, “Bahagian manakah dalam pekerjaan designer yang AI tidak boleh gantikan?”

Bayangkan dua orang diminta menghasilkan poster untuk program yang sama.

Orang pertama membuka AI. Dia menaip arahan, memilih visual yang paling cantik dan terus menggunakannya.

Orang kedua juga menggunakan AI. Tetapi dia bertanya: Adakah warna ini sesuai dengan audiens? Adakah tipografi ini mudah dibaca? Adakah visual ini menyampaikan mesej yang betul?

Adakah design ini sekadar cantik atau benar-benar berfungsi?

Kedua-duanya menggunakan AI. Tetapi hanya seorang yang berfikir seperti designer.

Di sinilah perubahan sebenar sedang berlaku.

Jika dahulu nilai designer banyak dikaitkan dengan kemampuan menghasilkan visual, hari ini nilainya semakin bergantung pada kemampuan berfikir, menilai dan membuat keputusan terhadap visual.

AI boleh menghasilkan seratus pilihan. Tetapi AI tidak semestinya tahu pilihan mana yang paling tepat untuk manusia yang melihatnya.

Sebab itu persoalan yang lebih penting bukan lagi: “Bolehkah AI menghasilkan design?” Sebaliknya: “Siapa yang menentukan sama ada design itu benar-benar berfungsi?”

Pada pandangan saya, AI tidak menjadikan designer tidak relevan. Tetapi AI sedang memaksa kita untuk mentakrifkan semula apa sebenarnya seorang designer.

Jika nilai seorang designer hanya terletak pada kebolehan menggunakan perisian dan menghasilkan visual, maka AI sememangnya satu ancaman besar.

Tetapi design tidak pernah sekadar tentang menghasilkan sesuatu yang cantik.

Designer perlu memahami manusia, membaca masalah, membina konsep, menentukan mesej, memahami audiens dan membuat keputusan visual yang mempunyai tujuan.

Sebab itu pelajar multimedia masih perlu belajar warna, komposisi, tipografi dan asas komunikasi visual.

Tanpa ilmu tersebut, seseorang mungkin mampu meminta AI menghasilkan visual yang cantik.

Tetapi dia mungkin tidak tahu mengapa visual itu cantik, mengapa ia gagal, atau bagaimana untuk menjadikannya lebih berkesan.

AI boleh menjadi alat yang sangat hebat. Tetapi alat yang hebat tetap memerlukan manusia yang tahu apa yang perlu dibuat, mengapa ia perlu dibuat dan untuk siapa ia dibuat.

Mungkin sudah tiba masanya pendidikan multimedia berubah.

Pelajar tidak boleh lagi disediakan hanya untuk menjadi individu yang mahir menggunakan Photoshop, Illustrator atau perisian tertentu. Jika teknologi berubah, kemahiran teknikal itu juga boleh berubah.

Apa yang lebih penting ialah melatih mereka berfikir seperti seorang designer.

Pelajar perlu belajar memahami masalah, mengenali audiens, membina konsep, membuat keputusan visual dan mempertahankan mengapa sesuatu design dipilih.

Pada masa yang sama, AI tidak perlu dianggap sebagai musuh yang perlu dijauhkan daripada bilik kuliah.

Gunakan AI. Eksperimen dengannya. Biarkan AI menjana sepuluh, dua puluh atau seratus idea. Tetapi selepas itu, tanyakan kepada pelajar:

Mengapa anda memilih design ini? Apa yang anda ubah? Apa yang salah dengan cadangan AI? Mengapa visual ini lebih sesuai untuk audiens anda?

Di situlah proses pembelajaran sebenar berlaku. Kerana masa depan mungkin bukan pertandingan antara designer dengan AI.

Sebaliknya, ia mungkin menjadi pertandingan antara designer yang tahu menggunakan AI dengan designer yang hanya tahu menghasilkan design.

Dan dalam dunia yang mampu menghasilkan visual dalam beberapa saat, kelebihan terbesar seorang designer mungkin bukan lagi pada seberapa pantas tangannya bekerja, tetapi pada seberapa tajam fikirannya membuat keputusan.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Mohd Khairul Mustakim Bin Mustapa Kamal,
Jabatan Multimedia Kreatif
Universiti Islam Selangor (UIS)

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.