
KUALA TERENGGANU, 6 September – Ketua Hakim Negara Tun Wan Ahmad Farid Wan Salleh mendahului senarai 128 penerima Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri Terengganu bagi 2026 bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-64 Hari Keputeraan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.
- Pemangku Raja Tengku Muhammad Ismail berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Negeri di Istana Syarqiyyah.
- Tun Wan Ahmad Farid menerima Darjah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin yang membawa gelaran Datuk Seri.
- Antara penerima lain termasuk Duta Besar Qatar, Panglima Tentera Udara dan Timbalan Presiden Persatuan Ekuin.
Pemangku Raja Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat dan mengurniakan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri kepada 128 individu di Istana Syarqiyyah, di sini.
Tun Wan Ahmad Farid menerima Darjah Kebesaran Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu (S.S.M.Z) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Turut menerima S.S.M.Z ialah Duta Besar Qatar ke Malaysia Datuk Seri Salah Mohammed Al-Sorour, Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris dan Timbalan Presiden Persatuan Ekuin Terengganu Tan Sri Abdullah Taib.
Baginda turut mengurniakan Darjah Kebesaran Datuk Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu, D.S.M.Z yang membawa gelaran Datuk kepada empat individu termasuk Hakim Mahkamah Persekutuan Malaysia, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali.
Sementara itu, pelakon Eman Manan dan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Ir. Ts. Dr Mohd Zamri Ibrahim antara 27 penerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu, D.P.M.T yang turut membawa gelaran Datuk.
Pada istiadat berkenaan baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu.S.M.Z kepada 17 penerima, Setia Mahkota Terengganu, S.M.T, 17 penerima, 20 penerima darjah kebesaran Ahli Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu, A.M.Z dan 39 penerima Ahli Mahkota Terengganu A.M.T.
Turut berangkat ke Istiadat Pengurniaan Bintang-Bintang Darjah Kebesaran Negeri ialah adinda-adinda baginda Tengku Seri Setia Mahkota Raja Tengku Datuk Seri Muhammad Muaz, Tengku Puteri Utama Raja Tengku Nadhirah Zahrah dan Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra’.
Hadir sama, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.