Anak Krakatau: Operasi penerbangan dihentikan sementara

Foto REUTERS

JAKARTA, 6 September — Operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di sini, terpaksa dihentikan sementara awal pagi Ahad, selepas ruang udara di sekitar lapangan terbang itu dikesan dicemari abu vulkanik, susulan letusan Gunung Anak Krakatau yang terletak lebih 150 kilometer dari Jakarta, sekali gus menjejaskan keselamatan penerbangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • 22,000 penumpang dan 209 penerbangan terjejas; laluan ke/dari Singapura paling terkesan.
  • Beberapa penerbangan antarabangsa ke Doha, Sydney dan Kuala Lumpur turut terjejas.
  • Kementerian Pengangkutan menggantung operasi bermula 1.30 pagi; ujian kertas sahkan penyebaran abu, penutupan dilanjutkan hingga 9.30 pagi.
  • Agensi Vulkanologi lapor dua letusan baharu; pihak berkuasa memantau taburan abu dan syarikat penerbangan nasihatkan penumpang semak jadual.

Insiden itu menjejaskan 22,000 penumpang dan 209 penerbangan, dengan laluan dari, dan ke Singapura antara yang paling terkesan.

Beberapa penerbangan antarabangsa ke destinasi lain seperti Doha, Sydney dan Kuala Lumpur turut terjejas akibat gangguan tersebut.

Kementerian Pengangkutan Indonesia berkata, operasi di Soekarno-Hatta pada awalnya digantung bermula 1.30 pagi (waktu tempatan) selepas abu gunung berapi dikesan di ruang udara sekitar lapangan terbang.

Manakala keputusan untuk melanjutkan penutupan sehingga 9.30 pagi (waktu tempatan) dibuat selepas ujian kertas terkini menunjukkan terdapat penyebaran abu vulkanik di kawasan lapangan terbang

Gunung Anak Krakatau meletus pada Sabtu dengan menghasilkan pancutan lava serta bunyi dentuman kuat yang dilaporkan boleh didengari sehingga 700 kilometer dari lokasi gunung berapi berkenaan.

Agensi Vulkanologi Indonesia turut melaporkan, dua letusan baharu berlaku pada Ahad, sekali gus meningkatkan kewaspadaan pihak berkuasa terhadap kemungkinan penyebaran abu gunung berapi.

Sehingga kini, pihak berkuasa Indonesia masih memantau pergerakan serta taburan abu berkenaan di ruang udara bagi menentukan tahap keselamatan operasi penerbangan.

Dalam pada itu, syarikat penerbangan menasihatkan penumpang supaya sentiasa menyemak status dan jadual penerbangan bagi mendapatkan maklumat terkini susulan perkembangan situasi berkenaan.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.