
ISTANBUL, 6 September – Iraq meningkatkan kapasiti eksport minyak mentahnya kepada lebih tiga juta tong sehari sejak awal September, selain merancang untuk meningkatkannya kepada lima juta tong sehari berikutan negara itu mula membangunkan laluan baharu yang tidak melalui Selat Hormuz.
- Kerajaan membina dua laluan saluran paip strategik: Basra-Haditha-Fishkhabur dan Haditha-Banias untuk sambungan ke Turkiye dan Syria.
- Langkah ini bertujuan mempelbagaikan laluan eksport bagi mengurangkan kebergantungan kepada Selat Hormuz.
- Pengeluaran turun kepada kira-kira 1.3 juta tong sehari semasa perang AS-Israel terhadap Iran, kemudian pulih pada Julai dan Ogos.
Menurut laporan Anadolu Ajansi yang memetik Menteri Minyak Basim Mohammed Khudair pada Ahad memaklumkan, kerajaan mahu meningkatkan kapasiti itu kepada lima juta tong sehari selepas saluran paip strategik yang menghubungkan medan minyak Iraq dengan Fishkhabur di utara dan pelabuhan Banias di Syria yang terletak di Mediterranean siap dibina.
Pada masa sama, Baghdad turut berusaha memperluas laluan eksport alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada Selat Hormuz.
Bulan lepas, Perdana Menteri Ali Faleh al-Zeidi mengarahkan kerja diteruskan bagi dua laluan saluran paip strategik, iaitu Basra-Haditha-Fishkhabur dan Haditha-Banias.
Laluan utara akan menghubungkan medan minyak di selatan dengan Fishkhabur berhampiran sempadan Turkiye, sekali gus menyediakan akses ke saluran paip Kirkuk-Ceyhan dan pelabuhan Ceyhan di Mediterranean, Turkiye.
Laluan barat pula akan menghubungkan Haditha dengan pelabuhan Banias di Syria, sekali gus menyediakan satu lagi laluan bagi Iraq ke Mediterranean dan berpotensi menghidupkan semula koridor minyak bersejarah antara kedua-dua negara.
Kerajaan memaklumkan projek itu bertujuan mempelbagaikan laluan eksport dan meningkatkan keupayaan Iraq untuk mengeksport minyak mentah ke luar negara.
Iraq mempunyai kira-kira 145 bilion tong rizab minyak terbukti, menurut angka rasmi.
Pengeluaran minyak negara itu merosot kepada kira-kira 1.3 juta tong sehari semasa perang AS-Israel terhadap Iran yang bermula pada akhir Februari, berbanding 3.3 juta tong sehari sebelum konflik itu, sebelum mula pulih pada Julai dan Ogos susulan ketegangan antara Washington dan Tehran.- BERNAMA-ANADOLU