Jerebu kebakaran Indonesia jejas Asia Tenggara

Pandangan udara menunjukkan kawasan diselubungi jerebu akibat kebakaran hutan di Palembang, Sumatera Utara/ AFP (Foto kecil: NASA pada Selasa merakam keadaan Kalimantan yang semakin diselubungi asap tebal)

JAKARTA, 5 September- Jerebu tebal menyelubungi beberapa kawasan di Indonesia ketika negara kepulauan itu berdepan kebakaran yang memusnahkan kawasan hutan dan tanah yang luas di Borneo serta Sumatera sejak beberapa minggu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kebakaran paling teruk di Borneo dan Sumatera, menjejaskan hutan dan tanah gambut.
  • El Nino menyebabkan cuaca kering, manakala amalan tebang dan bakar mencetuskan serta mengembang kebakaran.
  • Kebakaran di kawasan gambut sukar dipadam, bahan organik kering bertindak sebagai bahan bakar berterusan.
  • Asap berbahaya menjejaskan kesihatan dan pendidikan, menutup sekolah, serta menyeberang sempadan ke negara jiran.

Asap berbahaya itu meningkatkan risiko masalah pernafasan, menyebabkan sekolah ditutup dan turut ditiup angin ke negara jiran termasuk Malaysia, Singapura dan Filipina.

Berikut perkara yang perlu diketahui mengenai kebakaran dan kesannya:

– Di manakah kebakaran berlaku? –

Kebanyakan kebakaran tertumpu di pulau Borneo yang dikongsi Indonesia dengan Brunei dan Malaysia, selain Sumatera.

Hampir 300,000 hektar kawasan di Indonesia telah terbakar sepanjang tahun ini berdasarkan anggaran bebas portal Nusantara Atlas.

Menurut saintis kanan Copernicus Atmosphere Monitoring Service (CAMS), Mark Parrington pelepasan karbon di Indonesia meningkat sejak akhir Julai dan pada penghujung bulan lalu mencapai tahap setanding dengan tahun-tahun El Nino sebelum ini khususnya pada 2015 dan 2019.

“Kita kini menyaksikan pelepasan daripada kebakaran yang sangat tinggi, setanding dengan tahun-tahun El Nino yang kuat sebelum ini, selain kesan asap, jerebu dan pencemaran udara yang meluas,” katanya kepada AFP.

Portal CAMS Fire Emissions Watch melaporkan kebakaran di Indonesia melepaskan lebih 23 juta tan metrik pelepasan karbon antara 28 Ogos dan 3 September.

Jumlah itu lebih tinggi berbanding 20.7 juta tan metrik pelepasan karbon daripada kebakaran dalam tempoh sama pada 2015 ketika Indonesia mengalami El Nino yang kuat.

– Apakah punca kebakaran? –

Penganalisis berkata fenomena cuaca El Nino yang menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) minggu ini berpotensi menjadi yang terkuat dalam tempoh empat dekad, menyumbang kepada keadaan lebih kering di Indonesia dan memudahkan kebakaran merebak.

Amalan pembukaan tanah menggunakan kaedah tebang dan bakar turut menyumbang kepada keadaan itu, menurut pengasas Nusantara Atlas, David Gaveau.

“El Nino tidak mencetuskan kebakaran. Fenomena itu mewujudkan keadaan kering yang membolehkan kebakaran berpunca daripada aktiviti manusia merebak dan menjadi besar,” katanya kepada AFP.

Kebakaran sukar dipadam kerana sebahagiannya berlaku di kawasan tanah gambut iaitu ekosistem tanah lembap yang mengandungi lapisan bahan organik separa reput dan mudah terbakar apabila kering.

Lebih 210,000 titik panas dikesan di kawasan tanah gambut di seluruh Indonesia antara Januari dan Ogos tahun ini, menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pantau Gambut.

“Gambut ialah ekosistem yang sememangnya basah dan menyimpan sejumlah besar bahan organik. Apabila gambut dikeringkan, bahan organik itu berubah menjadi bahan bakar,” kata jurucakap Pantau Gambut, Wahyu Perdana.

– Apakah kesannya? –

Lebih lima juta penduduk di Borneo dan Sumatera terdedah secara langsung kepada risiko kesihatan akibat jerebu, menurut Timbalan Menteri Kesihatan Indonesia, Dante Saksono Harbuwono, bulan lalu.

Lebih 1.4 juta pelajar mengikuti pembelajaran dari rumah selepas banyak sekolah ditutup susulan kemerosotan kualiti udara, kata seorang pegawai Kementerian Pendidikan Indonesia minggu ini.

Di Malaysia, peningkatan mendadak tahap pencemaran udara mendorong kerajaan pada Jumaat mengisytiharkan darurat di Serian, Sarawak, menyebabkan hampir 650 sekolah ditutup minggu depan.

Di Filipina, kualiti udara beransur-ansur kembali normal selepas paras PM2.5 mencapai tahap “sangat tidak sihat” dan “amat tidak sihat” selama seminggu, menyebabkan pihak berkuasa menutup sekolah di beberapa bandar dan wilayah susulan jerebu yang dibawa angin.

Jerebu itu turut menyebabkan kualiti udara di kawasan tengah Singapura mencapai tahap “tidak sihat” pada Jumaat, menurut data Agensi Alam Sekitar Kebangsaan negara itu.

Indonesia sedang berkomunikasi dengan negara lain di rantau ini berhubung isu jerebu rentas sempadan, kata jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Vahd Nabyl Achmad Mulachela dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata mesyuarat berkala antara negara anggota ASEAN bagi membincangkan isu jerebu dan langkah susulan “terus diadakan”. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.