
KOTA KINABALU, 4 Sept – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan di Sabah menerusi peruntukan RM1.56 bilion bagi melaksanakan 53 projek pembangunan kesihatan di negeri itu.
- Perkukuhan infrastruktur kesihatan melalui pembinaan dan naik taraf hospital serta klinik, termasuk Pusat Jantung Sabah dan blok baharu Hospital Tawau.
- Bitara MADANI bina semula atau naik taraf 132 Klinik Daif, dan 46 lagi dirancang dinaik taraf secara berperingkat tahun ini.
- Percepatan pendigitalan: CCMS diperluas, rekod pergigian digital, sasaran Satu Individu Satu Rekod menjelang 2030, e-Kesihatan dan telekesihatan diperluas.
- Isu tenaga kerja: kadar pengisian 88.51 peratus, kekosongan, 607 jawatan baharu, serta penubuhan pasukan petugas KKM-JPA dan jawatankuasa KKM-KPT.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata peruntukan menerusi RMK-13 dan rundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) itu membabitkan 32 projek fizikal serta 21 projek bukan fizikal.
“Projek fizikal merangkumi pembinaan dan naik taraf hospital serta klinik, termasuk Pusat Jantung Sabah, Klinik Kesihatan (KK) Sapulut, Nabawan dan blok baharu Hospital Tawau, manakala projek bukan fizikal melibatkan pendigitalan teknologi maklumat dan penyediaan peralatan perubatan terkini.
Usaha tersebut demi memastikan rakyat di kawasan pedalaman dan pulau di negeri itu mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Bual Bicara Bersama Menteri Kesihatan bertajuk “Perkhidmatan Kesihatan di Sabah: Realiti Semasa, Cabaran dan Harapan Masa Hadapan” Wisma Wanita, di sini, hari ini.
Tambahnya, dalam usaha memperkukuh kemudahan kesihatan asas, sebanyak 132 Klinik Daif telah dibina semula atau dinaik taraf antara 2023 hingga 2025 menerusi inisiatif Bitara MADANI dengan peruntukan RM75.5 juta.
Sebanyak 46 lagi Klinik Daif dirancang untuk dinaik taraf secara berperingkat tahun ini.
Peruntukan kesihatan Sabah juga dijangka meningkat lima peratus setiap tahun dan mencecah RM4 bilion menjelang 2030.
“Bagi keperluan segera, KKM menyediakan RM4.3 juta membabitkan RM988,000 untuk Hospital Tambunan, RM1.279 juta bagi Hospital Ranau termasuk empat ambulans serta RM2.01 juta untuk menaik taraf unit pesakit luar Hospital Kota Belud,” katanya.
KKM turut merancang projek perintis penghantaran ubat menggunakan dron di Tawau pada suku keempat tahun ini bagi mempercepatkan penghantaran ubat kritikal ke kawasan pedalaman.
Dalam aspek pendigitalan, kira-kira 81 peratus pesakit kini disaring dan dirawat dalam tempoh kurang sejam, manakala Sistem Pengurusan Klinik Berasaskan Awan (CCMS) sedang diperluas ke 36 KK di Sabah.
Kesemua 44 klinik pergigian primer di Sabah juga telah menggunakan rekod pergigian digital menerusi Dental Information System.
KKM menyasarkan keseluruhan ekosistem kesihatan negara didigitalkan sepenuhnya menjelang 2030 menerusi konsep ‘Satu Individu, Satu Rekod’.
Kerjasama KKM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut dijangka mempercepatkan sasaran integrasi digital perkhidmatan kesihatan primer daripada 2045 kepada suku pertama 2027.
Melalui sistem e-Kesihatan yang diintegrasikan dengan ekosistem NADI, penduduk di kawasan pedalaman dan pulau juga boleh mendapatkan perkhidmatan telekesihatan tanpa perlu melakukan perjalanan jauh.
Dari segi tenaga kerja, kadar pengisian jawatan kesihatan di Sabah kini 88.51 peratus dengan 3,557 kekosongan. Negeri itu mempunyai 2,546 doktor, 549 pakar dan 10,164 jururawat.
Sebanyak 607 jawatan baharu turut diwujudkan di Sabah, termasuk jawatan pakar menerusi MA63.
Pada 2025, hanya 12 pakar perubatan menyertai perkhidmatan di Sabah berbanding 57 yang berpindah keluar, manakala 174 pegawai farmasi menyertai perkhidmatan berbanding 115 yang memohon pertukaran keluar.
Sehubungan itu, KKM menubuhkan Pasukan Petugas KKM-Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada April 2026 serta Jawatankuasa Bersama KKM-Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada Jun lalu bagi menangani isu tenaga kerja dan memperkukuh kapasiti perkhidmatan kesihatan di Sabah.