
PUTRAJAYA, 4 September – Penilaian semula secara menyeluruh perlu dilaksanakan terhadap penayangan drama yang mengandungi babak sensual dan unsur manipulasi atas alasan seni mahupun kesedaran sosial.
- Agensi berkaitan mesti mengambil tindakan sekiranya kandungan didapati melanggar garis panduan ditetapkan.
- Klip babak terlampau di media sosial boleh membiasakan norma buruk dan merosakkan perkembangan emosi serta sahsiah remaja.
- Penggiat seni dan platform diingatkan agar tidak mengutamakan angka tontonan serta keuntungan melebihi keberkatan dan kelestarian iman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata tindakan perlu diambil oleh agensi berkaitan sekiranya kandungan berkenaan didapati melanggar garis panduan ditetapkan.
“Walaupun niat menyampaikan realiti difahami, cara penyampaian yang mengghairahkan serta dijadikan modal pemasaran berisiko menenggelamkan mesej pengajaran sebenar,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Dr. Zulkifli menegaskan, penyebaran klip babak terlampau di media sosial dikhuatiri membiasakan norma buruk dalam kalangan masyarakat dan memberi impak negatif kepada perkembangan emosi serta sahsiah remaja.
Penggiat seni dan platform media juga diingatkan agar tidak meletakkan angka tontonan serta keuntungan perniagaan mengatasi keberkatan dan syarat kelestarian iman dalam berkarya.
Beliau menyeru seluruh warga industri kreatif untuk kembali menghayati acuan adab, etika dan Maqasid Syariah.
“Seni yang hebat ialah seni yang menyentuh jiwa tanpa melangkaui garis panduan Syarak, memandangkan setiap karya yang ditonton jutaan manusia pasti akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT kelak,” menurut hantaran tersebut.
Jelasnya lagi, menerusi kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi berkaitan, semakan berpandukan Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan Penyiaran Berunsur Islam (JAKIM Bil. 4/2015) akan dipertingkat demi memelihara kesucian agama.