
AL-MUGHAYYIR, 4 September – Puluhan rakyat Palestin berkumpul di kampung di sini pada Khamis bagi memberi penghormatan terakhir kepada jenazah dua remaja yang dibunuh dalam satu pencerobohan di Tebing Barat.
- Dua remaja berumur 16 dan 19 terbunuh dalam pencerobohan oleh peneroka dan tentera Israel di Tebing Barat.
- Israel mendakwa tenteranya memasuki kampung bagi melindungi polis; tentera dilaporkan menembak 'penghasut utama' ketika orang ramai membaling batu.
- Serangan berlaku ketika keganasan peneroka meningkat selepas tindakan mengepung kampung Qusra bulan lalu.
Dua remaja terbabit dibunuh pada Rabu ketika diserang peneroka haram dan tentera Israel di kampung berkenaan dekat Tebing Barat yang diduduki.
Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan dua remaja itu masing-masing berumur 16 dan 19 tahun.
Agensi berita WAFA turut melaporkan, kedua-dua mangsa maut semasa berada di kampung al-Mughayyir berhampiran Ramallah.
Israel menerusi kenyataan mendakwa tenteranya memasuki kampung berkenaan sebagai perlindungan keselamatan kepada pegawai polis dan rakyatnya yang cuba mendapatkan semula ternakan.
Tentera Israel dikatakan melepaskan tembakan dan mengenai ‘penghasut utama’ yang mencetuskan keganasan, menyaksikan orang ramai membaling batu ke arah tentera Israel.
Serangan ini berlaku di tengah-tengah peningkatan keganasan oleh peneroka haram di Tebing Barat yang diduduki susulan tindakan sekumpulan peneroka mengepung kampung Qusra pada bulan lalu yang mencetuskan kecaman antarabangsa.