
KUALA LUMPUR, 3 September – Gempa bumi lemah bermagnitud 3.4 yang berlaku di daerah Keningau, Sabah kira-kira pukul 9.31 pagi tadi merupakan sebahagian daripada pelepasan tenaga tektonik tempatan di rantau berkenaan.
- MetMalaysia akan terus memantau rapi sebarang aktiviti gempa susulan dan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
- Kementerian menasihatkan orang ramai supaya tidak bimbang atau panik kerana gempa dicatat lemah dan tidak membawa ancaman tsunami.
- Rekod pemantauan seismik menunjukkan Keningau pernah mencatat beberapa gempa lemah (2019, 2023 dan 6 Oktober 2024) serta 463 laporan gegaran diterima.
Kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam menerusi Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menyebut sehubungan itu, MetMalaysia akan terus memantau rapi sebarang aktiviti gempa susulan di kawasan berkenaan serta akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa.
“Kementerian turut menasihatkan orang ramai untuk tidak bimbang atau panik kerana gempa yang dicatatkan itu berada pada paras bermagnitud lemah dan tidak membawa kepada ancaman tsunami,”menurut kenyataan itu.
Kenyataan berkenaan turut memaklumkan rekod pemantauan analisis seismik menunjukkan Keningau pernah mencatatkan beberapa siri gempa bumi lemah sebelum ini, termasuk pada tahun 2019, 2023 dan pada 6 Oktober 2024.
Dalam kejadian pagi tadi, gegaran telah dirasai secara nyata oleh penduduk sekitar daerah Keningau dan sehingga pukul 11:30 pagi, MetMalaysia telah menerima 463 laporan gegaran yang dirasai oleh orang awam.