
BANGI, 3 September – Lembaga Tabung Haji (TH) tidak lagi melantik ahli politik aktif menganggotai lembaga pengarahnya.
- Keputusan diambil untuk memperkukuh tadbir urus dan memastikan pengurusan institusi lebih profesional.
- Ahli lembaga pengarah kini terdiri daripada profesional dilantik berdasarkan kesesuaian, kelayakan serta keseimbangan kemahiran dan kepakaran.
- Kuasa diberikan kepada ahli lembaga melalui jawatankuasa bagi memastikan pengurusan Tabung Haji dilaksanakan dengan lebih berkesan.
- Tiada campur tangan politik sepanjang kepimpinan beliau, dan pengurusan profesional membantu pemulihan serta transformasi institusi.
Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain menegaskan, keputusan itu sebagai usaha memperkukuh tadbir urus dan memastikan pengurusan institusi berkenaan lebih profesional.
Sekaligus, menjadikannya institusi kewangan Islam yang lebih berwibwa dan berintegriti.
Beliau berkata, anggota lembaga pengarah ketika ini terdiri daripada golongan profesional yang dilantik berdasarkan kriteria kesesuaian dan kelayakan.
Selain, mengambil kira keseimbangan kemahiran serta kepakaran yang diperlukan bagi melaksanakan agenda pembaharuan dan transformasi institusi berkenaan.
“Kejayaan itu turut didorong sokongan dua menteri yang pernah dan sedang bekerja dengan saya.. yang memahami pendirian saya untuk tidak membawa unsur politik ke dalam pengurusan Tabung Haji.
“Tabung Haji kini mempunyai barisan ahli lembaga pengarah yang berintegriti, berdisiplin serta mempunyai reputasi yang baik, ” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjadi panel program Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji di sini.
Beliau turut memaklumkan, kuasa telah diberikan kepada ahli lembaga pengarah menerusi jawatankuasa-jawatankuasa yang diwujudkan bagi memastikan pengurusan TH dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Dalam pada itu, Tan Sri Abdul Rashid menegaskan tiada campur tangan politik berlaku sepanjang tempoh beliau menerajui TH.
Menurutnya, pendekatan pengurusan secara profesional itu telah membantu TH berada pada landasan pemulihan dan transformasi yang lebih kukuh.