Pindaan Akta Tabung Haji 1995 hampir 90 peratus siap

Pengerusi Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain./ RTM

BANGI, 3 Sept – Proses pindaan Akta Tabung Haji 1995 kini mencapai hampir 90 peratus, dengan aspek struktur dan pengurusan dalaman berada pada fasa akhir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Baki pindaan kini berkaitan aspek kawal selia yang perlu diselesaikan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.
  • Suruhanjaya Sekuriti dipilih sebagai pengawal selia bagi bahagian pelaburan selepas rundingan dengan Bank Negara dan pihak berkaitan.
  • Pindaan menekankan pengukuhan kawal selia, tadbir urus, struktur dan peranan pekerja untuk melindungi pendeposit dan cegah isu berulang.

Pengerusi Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, baki proses yang perlu diselesaikan kini melibatkan aspek kawal selia sebelum pindaan berkenaan dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Beliau berkata, proses berkenaan mengambil masa kerana perlu melalui beberapa peringkat selain mendapatkan pandangan dan persetujuan pihak berkaitan sebelum dimuktamadkan.

Katanya, antara perkara yang sedang diperhalusi ialah penetapan pengawal selia yang sesuai bagi bahagian pelaburan TH, dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) diputuskan sebagai badan kawal selia berkenaan.

“Perkara itu mengambil masa kerana ia memerlukan penglibatan dengan semua badan kawal selia yang sedang kami teliti, sama ada Bank Negara mahupun Suruhanjaya Sekuriti.

“Kedua-dua badan ini diwakili dalam Jawatankuasa Pasukan Petugas yang saya pengerusikan bagi pihak Tabung Haji dan perkara ini telah pun diputuskan dalam kalangan kami, iaitu Suruhanjaya Sekuriti,” katanya.

Tambah beliau lagi, aspek teknikal berkaitan skop dan pelaksanaan bagaimanapun masih perlu diperhalusi, khususnya bagi memastikan TH kekal sebagai sebuah badan yang utuh secara keseluruhannya.

“Bahagian pelaburannya yang bakal diasingkan atau dikenal pasti itulah yang perlu mempunyai pengawal selia kewangan yang sewajarnya bagi memastikan tahap keselamatan tertinggi untuk para pendeposit terjamin,” katanya.

Beliau berkata, pindaan akta berkenaan turut memberi tumpuan kepada pengukuhan aspek kawal selia dan tadbir urus TH, selain memperkemas struktur serta peranan anggota kerja bagi memastikan kelemahan atau isu yang berlaku sebelum ini tidak berulang.

Katanya, langkah itu juga bertujuan memastikan pengurusan dan operasi TH dilaksanakan berdasarkan tatakelola yang lebih kukuh, telus dan berkesan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.