
KOTA TINGGI, 2 September – Mayat seorang daripada empat remaja yang disyaki lemas di Pantai Tanjung Lompat, di sini berjaya ditemukan, kira-kira 1.25 petang tadi manakala usaha mengesan tiga lagi mangsa masih diteruskan.
- Enam remaja berusia 16 tahun mandi di Pantai Tanjung Lompat ketika berkhemah bersama sembilan rakan sejak Selasa.
- Dua daripada mereka berjaya diselamatkan oleh orang awam.
- Operasi mencari dan menyelamat digerakkan melibatkan tujuh agensi termasuk polis, bomba, Maritim Malaysia dan pasukan polis marin.
Timbalan Ketua Polis daerah Kota Tinggi, Timbalan Penguasa Polis (DSP) Mohd Syamsuri Mohamad, mayat mangsa ditemukan kira-kira 800 meter dari lokasi kejadian berlaku dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut.
“Pihak polis menerima laporan mengenai enam orang yang turun mandi di laut. Dua daripada mereka difahamkan berjaya diselamatkan oleh orang awam, manakala empat lagi masih hilang.
“Pada kira-kira 1.25 tengah hari tadi, pasukan penyelamat berjaya menemukan seorang daripada mangsa,” katanya kepada RTM.
Dalam kejadian pagi tadi, enam remaja berusia 16 tahun dilaporkan mandi di pantai berkenaan, ketika berkhemah bersama sembilan lagi rakan lain sejak Selasa.
Mangsa yang lemas ialah Mohamad Thaqif Rayyan Romainoor, Alif Taqiudin Kamal Hasrul, Mohamad Haiman Fitri Supian dan Adib Rizqi.
Manakala dua lagi mangsa yang selamat, Mohamad Faqrul Isqandar Abdullah dan Muhammad Afiq Ruzaini Mazlan.
Sejurus menerima laporan kehilangan empat mangsa, satu operasi mencari dan menyelamat digerakkan melibatkan tujuh agensi termasuk polis, bomba, Maritim Malaysia dan pasukan polis marin.