21 cedera feri berlanggar dengan kapal di Pulau Pinang

Foto JBPM Pulau Pinang

BUTTERWORTH, 2 September – 21 penumpang feri Pulau Pinang dilaporkan mengalami kecederaan selepas feri berkenaan berlanggar dengan sebuah kapal di perairan berhampiran terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) di sini malam Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlanggaran melibatkan Feri Teluk Bahang dan kapal MV Mekar Jaya berlaku dalam had Pelabuhan Pulau Pinang pada jam 8:40 malam.
  • MV Mekar Jaya dilaporkan bergerak dari dermaga air dalam ke Swettenham Pier Cruise Terminal.
  • Semua penumpang yang cedera dibawa ke hospital, operasi feri tidak terjejas dan SPPP bersama PPSB akan ambil tindakan susulan.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin menerusi kenyataan di Facebook mengesahkan insiden perlanggaran melibatkan Feri Teluk Bahang dan kapal MV Mekar Jaya telah berlaku dalam had Pelabuhan Pulau Pinang pada 8:40 malam.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, MV Mekar Jaya dilaporkan sedang bergerak dari Dermaga Air Dalam Butterworth (DADB) ke Swettenham Pier Cruise Terminal (SPCT).

“Insiden perlanggaran kemudiannya berlaku melibatkan kapal berkenaan dan feri yang sedang dalam perjalanan ke PSAH. Setakat maklumat awal yang diterima, sebanyak 21 penumpang dilaporkan cedera.

“Semua penumpang yang cedera telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan lanjut dan tiada lagi mangsa berada di PSAH. Operasi perkhidmatan feri berjalan seperti biasa dan tidak terjejas susulan insiden itu,” katanya.

Menurut Datuk Yeoh, SPPP bersama Penang Port Sdn Bhd (PPSB) akan mengambil segala langkah sewajarnya bagi memastikan tindakan susulan yang diperlukan dapat dilaksanakan berkaitan penumpang yang terlibat serta keselamatan dan kelancaran operasi pelabuhan sentiasa terjamin.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.