
JAKARTA, 1 September – Bahan cemar daripada kebakaran hutan dan tanah di Sumatera dan Kalimantan terus bergerak menuju ke Selat Melaka dan Laut Natuna, serta berpotensi menuju ke Malaysia, Singapura dan Brunei, menurut ramalan pihak berkuasa Indonesia pada Selasa.
- Jumlah titik kebakaran menurun di Kalimantan dan Sumatera, namun pencemaran udara kekal teruk di beberapa kawasan Kalimantan.
- Kebakaran tanah gambut sukar dipadam; pasukan memadamkan ratusan hektar tetapi kawasan perlu dibasahi sehingga sisa haba hilang.
- Indeks pencemaran udara (ISPU) sangat tinggi di beberapa daerah Kalimantan; jarak penglihatan rendah; pembenihan awan berjaya di Jambi, gagal di Kalteng.
Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofizik (BMKG) mengeluarkan ramalan itu selepas jumlah titik kebakaran mencatatkan penurunan mendadak di seluruh wilayah keutamaan di Kalimantan, Indonesia manakala di Sumatera kekal relatif rendah pada Selasa, namun pencemaran udara yang teruk masih berterusan di sesetengah kawasan di kedua-dua pulau berkenaan.
Pemangku Ketua Pusat Data, Informasi dan Komunikasi Bencana Badan Nasional Pengurangan Bencana (BNPB), Berton Panjaitan berkata Kalimantan Tengah merekodkan bilangan tertinggi iaitu 63 titik panas, turun berbanding 72 sehari sebelumnya, diikuti Kalimantan Barat sebanyak 30 daripada 104 dan Kalimantan Selatan sebanyak 13 berbanding 55.
Di Sumatera, beliau berkata Riau merekodkan empat titik panas, manakala Jambi dan Sumatera Selatan masing-masing mencatatkan 13 titik panas, dengan Sumatera Selatan menunjukkan sedikit peningkatan berbanding 11 sehari sebelumnya.
Berton berkata pasukan darat berjaya memadamkan kebakaran yang meliputi kira-kira 263 hektar di Kalimantan Barat, 87 hektar di Kalimantan Tengah dan 29 hektar di Kalimantan Selatan, serta lebih 126 hektar di Riau, 13 hektar di Jambi dan 9.25 hektar di Sumatera Selatan setakat Isnin.
“Walaupun api telah dipadamkan, tugas belum selesai kerana kawasan berkenaan masih perlu dibasahi dan dipadamkan baranya sehingga tiada sisa haba yang tinggal. Kebakaran tanah gambut memberikan cabaran luar biasa berbanding kebakaran tumbuhan di tanah mineral,” katanya pada sidang media secara dalam talian pada Selasa.
Berdasarkan data yang dipaparkan semasa sidang media itu, pencemaran udara kekal teruk di beberapa bahagian di Kalimantan dengan Indeks Standard Pencemaran Udara (ISPU) mencecah 680 di Katingan, Kalimantan Tengah, diikuti 468 di Pontianak Tenggara, Kalimantan Barat, dan 405 di Murung Raya, Kalimantan Tengah setakat 4.09 petang waktu tempatan.
Berton berkata jarak penglihatan kekal di bawah satu kilometer di Kalimantan Barat, kira-kira dua kilometer di Kalimantan Tengah dan di bawah tiga kilometer di Kalimantan Selatan.
Di Sumatera, beliau berkata kualiti udara bertambah baik terutamanya di Riau dan Jambi, manakala keadaan di Sumatera Selatan secara umumnya berada pada tahap sederhana, walaupun jarak penglihatan di situ masih kekal di bawah dua kilometer.
“Aktiviti normal, termasuk pembelajaran bersemuka, telah diteruskan di Riau dengan jarak penglihatan bertambah baik kepada lebih sembilan kilometer. Program Hari Tanpa Kereta juga diadakan pada Ahad lepas, menunjukkan bahawa kualiti udara terutamanya di Pekanbaru telah bertambah baik. Kita berharap keadaan ini dapat terus dipertahankan,” katanya.
Mengenai operasi pembenihan awan, Berton berkata hujan ringan hingga sederhana dicatatkan di beberapa bahagian di Jambi selepas 2,000 kilogram garam ditabur, manakala operasi di Kalimantan Tengah gagal menghasilkan hujan, dan usaha serupa tidak dapat dijalankan di Riau, Sumatera Selatan dan Kalimantan Selatan disebabkan ketiadaan awan yang sesuai.- BERNAMA