
PUTRAJAYA, 31 Ogos – Lebih 100,000 pengunjung hadir memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya di sini, hari ini.
- Penganjuran sambutan berlangsung lancar dan aman mengikut perancangan, kata Datuk Seri Fahmi Fadzil.
- Kesyukuran kerana cuaca baik dan bacaan IPU tidak meningkat; JAS dan METMalaysia memantau serta bersedia melaksanakan pembenihan awan.
- Datuk Seri Fahmi menyeru rakyat memeriahkan sambutan serta memanfaatkan program seperti Riuh Merdeka di Monumen Alaf Baru.
Menteri Komunikasi merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026, Datuk Seri Fahmi Fadzil menyifatkan, penganjuran sambutan kali ini berlangsung dengan lancar serta aman, mengikut perancangan yang ditetapkan.
“Saya ingin mengambil kesempatan untuk merakam ucapan terima kasih kepada semua pengunjung yang hadir.
“Ada yang datang dari Sandakan, ada yang datang dari Johor Bahru, malah ada yang datang dari Jeli. Ramai yang sanggup datang semata-mata untuk bersama-sama menyambut satu tarikh yang begitu istimewa dan penuh keramat iaitu sambutan Hari Kebangsaan 2026,” katanya selepas sambutan tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan kesyukuran kerana sambutan berlangsung dalam keadaan cuaca yang baik, selain bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang tidak menunjukkan peningkatan ketara akibat jerebu.
“Cuaca hari ini sangat-sangat baik. Berkat doa kita semua dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memainkan peranan termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang telah memantau serta telah bersedia untuk melaksanakan pembenihan awan sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan,” katanya.
Sementara itu, Datuk Seri Fahmi menyeru rakyat Malaysia supaya turut hadir memeriahkan dan memanfaatkan pelbagai pengisian menarik sempena Sambutan
HKHM 2026 di sekitar Putrajaya.
Antara yang dianjurkan ialah program Riuh Merdeka di Monumen Alaf Baru, Putrajaya.