
KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) petang Ahad, dengan beberapa ikhtiar penting menyentuh kebimbangan dan kehidupan rakyat dijangka diumumkan.
- Amanat Perdana disiarkan secara langsung menerusi semua saluran media tempatan bagi memberi peluang rakyat mengikuti mesej khas Hari Kebangsaan.
- Mengenang pengorbanan generasi terdahulu dan mengajak muhasabah tentang tanggungjawab generasi kini mengisi makna kemerdekaan.
- Semarakkan semangat perpaduan, tolak hasutan kebencian antara kaum dan agama demi keamanan negara serta kesejahteraan rakyat.
Amanat berkenaan akan disiarkan secara langsung menerusi semua saluran media tempatan, sekali gus memberi peluang kepada rakyat mengikuti mesej khas sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
“Hampir tujuh dekad berlalu sejak negara mencapai kemerdekaan. Kita mengenang perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu yang merintisnya dengan keringat, darah dan air mata, sebelum kita bermuhasabah tentang tanggungjawab generasi hari ini dalam mengisi serta memaknakan kemerdekaan.
“Ayuh kita semarakkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini dengan membugar semangat perpaduan dan menolak segala hasutan kebencian antara kaum dan agama demi keamanan negara serta kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di laman Fecebook pada Sabtu.