
KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu terus memantau perkembangan terkini susulan banjir besar yang melanda Sungai Bhote Koshi, Rasuwa, Nepal, awal pagi semalam.
- Seramai 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dikesan, menurut maklumat keluarga, agensi pelancongan dan sumber berkaitan.
- Kedutaan berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan, pasukan mencari dan menyelamat serta hospital untuk mengesan dan membantu mangsa.
- Kerosakan laluan memaksa operasi menyelamat menggunakan helikopter, manakala mangsa cedera parah diberi keutamaan dibawa ke Kathmandu untuk rawatan.
Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, Mohd Firdaus Azman berkata, berdasarkan maklumat diterima daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber berkaitan, seramai 55 rakyat Malaysia kini masih belum dapat dikesan.
“Berdasarkan kepada maklumat yang diterima daripada ahli keluarga, agensi-agensi pelancongan serta sumber-sumber yang berkaitan, pihak kedutaan telah merekodkan seramai 55 orang rakyat Malaysia yang pada masa ini tidak dapat dikesan.
“Pihak kedutaan sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan, pasukan mencari dan menyelamat serta pihak hospital di Nepal bagi mengesan keberadaan rakyat Malaysia di Nepal,” katanya.
Menurut beliau, kerosakan teruk pada laluan menuju kawasan terjejas menyebabkan operasi menyelamat kini hanya dapat dilakukan menggunakan helikopter.
Katanya, pihak berkuasa tempatan memberi keutamaan kepada mangsa yang mengalami kecederaan parah untuk dibawa ke Kathmandu bagi mendapatkan rawatan.
Sehubungan itu, pihak kedutaan turut berhubung rapat dengan hospital-hospital di Kathmandu bagi mengesan sekiranya terdapat rakyat Malaysia yang dibawa ke ibu negara Nepal untuk mendapatkan rawatan.
Dalam pada itu, Mohd Firdaus meminta semua pihak bersama-sama mendoakan keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Nepal susulan bencana berkenaan.