Banjir kilat Nepal: Lapan maut, 26 anggota polis hilang

Rumah penduduk ditenggelami air berlumpur di sepanjang tebing sungai selepas banjir kilat melanda Trishuli Bazar, daerah Nuwakot, Nepal, awal pagi Rabu.banjir/ AFP)

KATHMANDU, 26 Ogos – Sekurang-kurangnya lapan orang disahkan maut manakala 26 anggota polis dilaporkan hilang selepas banjir kilat besar melanda kawasan tengah Nepal, pada pagi Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemusnahan besar terhadap penempatan, jambatan, projek hidro dan jalan raya di kawasan berhampiran sempadan Nepal-China.
  • Punca masih dinilai; kemungkinan limpahan tasik glasier hulu atau runtuhan batu dan ais yang menghalang sungai.
  • Kerajaan mengerah tentera dan agensi keselamatan untuk operasi menyelamat, amaran pemindahan hilir, serta gangguan bekalan elektrik akibat kerosakan loji.

Banjir di sepanjang Sungai Bhotekoshi di banjaran Himalaya itu turut menyebabkan kemusnahan besar terhadap kawasan petempatan penduduk, jambatan, projek kuasa hidro dan jalan raya di kawasan berhampiran sempadan Nepal-China.

Jurucakap polis Abi Narayan Kafle berkata jumlah sebenar mangsa yang hilang mungkin lebih tinggi kerana terdapat pegawai hasil kerajaan dan pekerja loji kuasa hidro yang masih belum dapat dikesan.

“Setakat ini, kami hanya mempunyai pengesahan mengenai 26 anggota polis yang masih hilang akibat banjir tersebut.

“Kami juga menerima laporan kehilangan melibatkan pegawai hasil kerajaan, pekerja loji kuasa hidro dan lain-lain, namun kami masih dalam proses mengumpul data,” katanya.

Rakaman yang dikongsi polis Nepal dan orang awam di media sosial menunjukkan arus deras air berlumpur mengalir melalui lembah pergunungan, menghanyutkan rumah, kenderaan dan struktur lain di sepanjang laluannya.

Punca sebenar banjir masih dalam penilaian, dengan pihak berkuasa Nepal mempercayai ia mungkin berkaitan limpahan tasik glasier di bahagian hulu di wilayah Tibet, China.

Anggota penyelamat membawa seorang mangsa warga emas yang terjejas akibat banjir kilat di Devghat, daerah Nuwakot./ AFP

Bagaimanapun, seorang penganalisis di Pusat Antarabangsa bagi Pembangunan Gunung Bersepadu (ICIMOD), Sarthak Shrestha, berkata penilaian awal menunjukkan tiada anomali dari pihak China di sempadan.

Beliau berkata terdapat kemungkinan berlaku runtuhan batu dan ais di Nepal yang menghalang Sungai Lhende sebelum mencetuskan banjir berangkai.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri Balendra Shah mengerah tentera Nepal dan agensi keselamatan lain bagi menjalankan operasi menyelamat, manakala tambahan anggota turut dihantar ke kawasan terjejas.

Sementara itu, pihak berkuasa mengeluarkan amaran bencana kepada penduduk yang tinggal di kawasan hilir sungai supaya berpindah dari kawasan berhampiran sungai.

Dalam kejadian, banjir tersebut turut menjejaskan bekalan elektrik negara apabila Pihak Berkuasa Elektrik Nepal berkata kira-kira 430 megawatt kapasiti pengeluaran, termasuk daripada kemudahan hidroelektrik dan solar, mengalami kerosakan.

“Bencana itu telah merosakkan kemudahan penjanaan, penghantaran dan pengagihan milik pihak berkuasa… menyebabkan gangguan bekalan elektrik,” menurut kenyataan itu.

Beberapa lebuh raya turut ditutup, manakala ribuan pengembara dan pendaki yang berada di laluan popular Langtang dilaporkan terkandas.

Pusat sempadan Rasuwagadhi merupakan pintu masuk perdagangan terbesar Nepal dengan China di utara.

Sementara itu, di China, media kerajaan melaporkan kejadian tanah runtuh turut menjejaskan Pelabuhan Gyirong di Tibet, dengan CCTV melaporkan “korban besar” serta beberapa individu hilang.

Rakaman yang disiarkan media China menunjukkan air deras membawa dahan pokok dan serpihan, selain jalan raya yang dinaiki air.

Presiden China Xi Jinping mengarahkan operasi mencari dan menyelamat secara habis-habisan serta menggesa usaha segera dilakukan untuk mencari mangsa yang hilang, merawat mereka yang cedera dan mengurangkan jumlah korban.

Pihak berkuasa trafik di Shigatse, Tibet, turut memberi amaran bahawa beberapa jalan di kawasan berkenaan berisiko dilanda tanah runtuh dan tidak selamat untuk dilalui.

Sementara itu, pakar risiko iklim dan alam sekitar ICIMOD, Qianggong Zhang, memberi amaran kemungkinan berlaku banjir kedua susulan sekatan yang masih berada di hulu sungai di kawasan sempadan Nepal-China.

“Dengan sekatan yang masih berlaku di hulu sungai di sempadan Nepal-China, pihak berkuasa memberi amaran bahawa banjir kedua mungkin berlaku,” katanya kepada AFP.

Penduduk tempatan menyifatkan kejadian itu sebagai antara banjir terburuk di kawasan berkenaan dalam tempoh beberapa dekad.

Hujan monsun dari Jun hingga September sememangnya kerap mencetuskan banjir dan tanah runtuh di seluruh Asia Selatan, manakala saintis memberi amaran perubahan iklim meningkatkan kekerapan serta intensiti kejadian cuaca ekstrem di rantau itu. AFP/ BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.